KUALA LUMPUR 11 Julai - Usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik sektor bernilai tinggi seperti fabrikasi semikonduktor dan teknologi digital, mempercepat kelulusan pelaburan langsung asing (FDI) dan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan mempunyai implikasi ketara kepada Malaysia dan rantau Asia yang lebih luas, menurut Forbes Magazine.
Menurutnya pelaburan penting telah ditarik dalam sektor bernilai tinggi seperti fabrikasi semikonduktor dan teknologi digital.
“Dengan memberi tumpuan kepada sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi dan kemajuan teknologi, Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan rantaian nilai global dan mendorong ekonomi yang lebih dinamik dan berdaya saing,” kata Benjamin Laker dalam komentar yang diterbitkan oleh majalah itu di laman webnya.
Beliau berkata langkah untuk menggalakkan kualiti pelaburan tertumpu terhadap produktiviti buruh menerusi automasi dan peningkatan perbelanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan.
“Inisiatif ini dihasilkan untuk mewujudkan ekonomi yang lebih berteraskan inovasi -- mengurangkan pergantungan kepada buruh berkemahiran rendah dan meningkatkan produktiviti keseluruhan. Pembaharuan ini mempunyai implikasi yang ketara kepada Malaysia dan rantau Asia yang lebih luas,” katanya.
Laker turut memuji pendekatan Anwar dari segi pengoptimuman kos, terutama rasionalisasi subsidi dan mengurus kos perkhidmatan awam.
“Perubahan melibatkan penjawat awam baharu kepada skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja -- dijangka mengurangkan kos pencen jangka panjang -- adalah satu langkah penting. Langkah ini bertujuan meringankan beban kewangan kerajaan dengan mengalihkan liabiliti pencen pada masa depan kepada model lebih mampan,” katanya.
Selain itu, enakmen Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal menginstitusikan pengurusan fiskal yang berhemat dengan sasaran kepada defisit fiskal tiga peratus dan nisbah 60 peratus hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.
Menurutnya rangka kerja perundangan ini bertujuan memastikan dasar fiskal Malaysia kekal mampan dalam jangka panjang, menawarkan persekitaran ekonomi stabil yang kondusif kepada pertumbuhan.
Bagaimanapun, Laker yang juga merupakan profesor kepimpinan di Henley Business School, University of Reading menekankan bahawa cabaran tetap wujud.
Beliau berpandangan bahawa terdapatnya potensi halangan, misalnya dari segi usaha untuk menyasarkan semula subsidi petrol dan kos sara hidup tinggi yang dikaitkan dengan pemotongan subsidi baru-baru ini.
Laker berkata perjalanan Malaysia boleh menjadi contoh kepada negara lain dalam mengemudi pemulihan pascapandemik dan transformasi struktur yang sama. - DagangNews.com