Usahawan terima baki bantuan GKP RM500 mulai hari ini | DagangNews Skip to main content

Usahawan terima baki bantuan GKP RM500 mulai hari ini

 

 


KUALA LUMPUR 12 Julai - Kerajaan setakat ini memperuntukkan sebanyak RM6.08 bilion di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) membabitkan hampir sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro untuk menghadapi tempoh mencabar akibat pandemik COVID-19.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.5 bilion disalurkan menerusi GKP 3.0 atau RM1,500 kepada PKS mikro yang layak.

 

Katanya, ia menyaksikan sebanyak RM1 bilion atau RM1,000 telah dikreditkan kepada akaun penerima pada pertengahan Jun lalu.

 

"Seterusnya, jumlah tambahan sebanyak RM500, yang telah diumumkan melalui Pemerkasa Plus, akan dibayar mulai hari ini (12 Julai). 

 

"Pembayaran yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM500 juta ini akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan di dalam sistem GKP," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Di bawah Pakej Pemulih yang diumumkan pada 28 Jun lalu, bayaran tambahan GKP 4.0 akan disalurkan kepada penerima GKP sedia ada dan penerima baharu pada September dan November, masing-masing sebanyak RM500.

 

Bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, tempoh pendaftaran GKP 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai ini. 

 

Tengku Zafrul berkata, bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka, terutama perniagaan yang masih
tidak dibenarkan beroperasi ketika ini.

 

"Tambahan GKP 4.0, ketersediaan dana-dana pinjaman mudah dan bantuan-bantuan lain bertujuan untuk menampung keperluan pembiayaan PKS dan PKS mikro bagi menyokong perkembangan masing-masing selaras dengan pemulihan ekonomi yang digariskan melalui Pelan Pemulihan Negara. 

 

"Ini membuktikan kesungguhan dan usaha berterusan Kerajaan dalam membantu perniagaan untuk kekal bertahan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya. 

 

Selain GKP, banyak lagi inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh PKS mikro sepenuhnya sebagai persediaan untuk perancangan jangka panjang ke arah pemulihan perniagaan masing-masing. 

 

Antaranya, termasuklah dana pinjaman mudah PKS mikro yang keseluruhannya berjumlah RM2.9 bilion melalui Bank Simpanan Nasional, Agrobank, Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Corp, YAPEIM dan Tekun Nasional.

 

Peruntukan dana pinjaman mudah juga tersedia di bawah Bank Negara Malaysia berjumlah RM8.6 bilion. 

 

Jumlah ini termasuk dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Pemerkasa Plus dan RM2 bilion lagi menerusi Pemulih. - DagangNews.com