Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad (atas kiri) dan Menjalankan Fungsi Naib Canselor UTeM, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar (atas kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif STV, Ajmain Kassim (kiri bawah) dan Pengarah Pusat Pengkomersilan (UCC), UTeM, Prof. Madya Dr. Muhammad Herman Jamaludin (kiri bawah), semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara SIRIM Tech Venture Sdn. Bhd. (STV) dan UTeM yang diadakan secara maya, hari ini.
KUALA LUMPUR 11 Okt. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalin kerjasama dengan SIRIM Tech Venture Sdn. Bhd. (STV), anak syarikat milik penuh SIRIM untuk memberi fokus kepada aktiviti kerjasama dalam aspek pengkomersialan hasil penyelidikan universiti tersebut.
Susulan itu, satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama (MoU) antara kedua-dua pihak telah diadakah secara maya yang diwakili Profesor Ir. Dr. Ghazali Omar, Menjalankan Fungsi Naib Canselor UTeM manakala SIRIM Tech Venture Sdn. Bhd. (STV) diwakili Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Bhd., Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad
Ghazali Omar berkata, kerjasama strategik antara universiti dan industri adalah penting untuk mentransformasi hasil penyelidikan menjadi produk dan perkhidmatan yang akan membawa manfaat bersama kepada semua pemegang taruh.
“Selain itu, kerjasama sedemikian akan melonjakkan lagi agenda inovasi dan pengkomersialan agar selari dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara yang turut hadir daripada pihak UTeM termasuklah Pengarah Pusat Pengkomersialan (UCC), Prof. Madya Dr. Muhammad Herman Jamaludin; Pengarah Advanced Manufacturing Centre (AMC), Prof. Ir. Dr. Hambali Arep @ Ariff dan Pengarah Centre for Research and Innovation Management (CRIM), Prof. Dr. Zahriladha Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif STV, Ajmain Kassim.
Sementara itu, Ahmad Sabirin berkata, melalui kerjasama ini STV akan memberi khidmat nasihat dan perkhidmatan pengkomersialan teknologi STV kepada UTeM yang dapat membantu penyelidik universiti dalam pengkomersialan inovasi mereka.
“STV dan UTeM telah bersetuju untuk bekerjasama dalam pengkomersialan teknologi, produk, sistem dan perniagaan dalam bidang penyelidikan yang melibatkan teknologi kejuruteraan, ICT, Industri 4.0 dan pembuatan bahan tambahan.
“Kedua-dua pihak turut menjalankan penilaian projek secara bersama. Ini adalah salah satu cabang proses pengkomersialan teknologi di mana penentusahan kesediaan teknologi adalah penting sebelum UTeM ke proses seterusnya,” katanya. - DagangNews.com