UTM, Theta Edge edar 10 komputer kepada sekolah komuniti Orang Asli di Cameron Highlands | DagangNews Skip to main content

UTM, Theta Edge edar 10 komputer kepada sekolah komuniti Orang Asli di Cameron Highlands

(Dari kiri) Pengarah Pembangunan Perniagaan Theta Edge, Datuk Suhairi SaidDatuk Nuraslina Zainal Abidin dan Prof Dr Latif Saleh ketika majlis penyampaian kompter kepda sekolah komuniti orang asli di Pos Lemoi, Cameron Highlands.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Theta Edge Bhd melalui inisiatif #thetaCares, mengedarkan 10 komputer kepada sebuah sekolah komuniti orang asli di Pos Lemoi, Cameron Highlands. 

 

UTM dan Theta Edge berkata, ia sejajar dengan aspirasi untuk terus meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi Malaysia melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah projek Kumpulan USR, 'Adopt A Kampung'.

 

"Pejabat Komuniti Orang Asli menghadapi cabaran pendidikan, termasuk ramai kanak-kanak Orang Asli kehilangan minat dan bergelut untuk bersekolah, ada yang takut berpisah dengan keluarga kerana rumah terletak jauh di kawasan terpencil. 

 

"Untuk menangani cabaran ini dan meningkatkan pendidikan untuk kanak-kanak Orang Asli, terdapat keperluan untuk pendekatan inovatif yang boleh melibatkan dan memotivasikan pelajar, menyokong pembelajaran mereka secara bermakna," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pro-Naib Canselor UTM Kampus Kuala Lumpur, Prof Dr Abd Latif Saleh berkata, beliau gembira dan berbangga tentang usaha kerjasama UTM dalam mewujudkan peluang pembelajaran yang lebih baik untuk masyarakat Orang Asli di Pos Lemoi. 

 

Katanya, program itu membawa kegembiraan kepada kanak-kanak di sekolah dan menawarkan mereka peluang untuk mendalami kecerdasan buatan. 

 

"Pada masa yang sama, UTM juga mengumumkan kerjasama strategik dengan Theta, sebuah syarikat terkemuka dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), yang akan membantu kami dalam menjalankan program ini dengan lebih berkesan," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta, Datuk Nuraslina Zainal Abidin pula berkata, pihaknya terus menyokong usaha untuk meningkatkan akses pelajar kepada mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). 

 

Katanya, pendidikan menggunakan pendekatan inovatif, seperti Fun Learning Toy Library (FLTL), akan membolehkan pembelajaran hands-on dengan aplikasi dunia sebenar, membantu pelajar mengembangkan pelbagai kemahiran, memupuk rasa ingin tahu dan menggalakkan mereka mempelajari lebih lanjut tentang subjek saintifik yang akan membuka potensi mereka.

 

"Dengan sumbangan komputer ini, bersama-sama dengan infrastruktur digital, kami berhasrat untuk menggalakkan pembangunan komuniti dan berharap dapat memupuk minat pelajar orang asli dalam meneroka dunia pembelajaran yang lebih luas. 

 

"Ia juga merupakan kaedah untuk meningkatkan minat mereka untuk menghadiri sekolah kerana mereka boleh belajar. menggunakan teknologi digital dalam era globalisasi yang semakin canggih ini," katanya.

 

Melalui inisiatif #thetaCares, UTM dan Theta berharap para pelajar mendapat akses digital yang baik kepada pendidikan berkualiti, meningkatkan keberkesanan pembelajaran mereka dan memupuk literasi digital.  - DagangNews.com