UUE Holdings catat premium 42 sen atau 175% pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

UUE Holdings catat premium 42 sen atau 175% pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Julai - UUE Holdings Bhd membuat penampilan sulung kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 66 sen, premium 42 sen atau 175% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 24 sen.

 

Sejumlah 30.71 juta saham kumpulan itu telah diniagakan pada pukul 9 pagi.

 

Kumpulan itu berjaya memperoleh RM29.98 juta melalui terbitan 124,902,000 juta saham biasa baharu berharga 24 sen sesaham.

 

Sejumlah 52.5% atau RM15.75 juta daripada hasil akan digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan manakala 36.3% atau RM10.89 juta disalurkan untuk modal kerja. 

 

Baki sebanyak RM3.33 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Saham tersenarai diklasifikasikan sebagai patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Bahagian terbitan awam syarikat yang disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui undian telah terlebih langgan pada kadar 103.83 kali dengan jumlah 25,019 permohonan dengan kira-kira 3.19 bilion saham.

 

Pengerusi Bukan Eksekutif UUE, Lee Chye Tee berkata, pihaknya merancang untuk memperoleh lebih banyak jentera bagi mengembangkan rangkaian rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah serta mengembangkan skala projek.

 

Beliau berkata, ia termasuk memperoleh mesin penggerudian mendatar (HDD) bagi meluaskan tawaran perkhidmatan kumpulan pada masa akan datang selain mencari projek baharu bagi kerja-kerja HDD dasar laut.

 

"Bagi menambah aset sedia ada, kami memajak jentera tambahan, termasuk mesin HDD, jengkaut dan lori.

 

"Kami juga komited mengembangkan lagi perkhidmatan kami di Singapura. Permintaan untuk rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah didorong oleh rancangan Singapura untuk meningkatkan populasinya kepada antara 6.5 juta dan 6.9 juta menjelang 2030. 

 

"Kami berhasrat untuk memanfaatkan rekod prestasi dan kepakaran kami untuk mengambil bahagian secara aktif dalam tender bagi projek pengagihan elektrik di Singapura," katanya.

 

M & A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO kumpulan itu. - DagangNews.com