Vaksin COVID-19 dianggar pada harga antara RM21 hingga RM83 | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19 dianggar pada harga antara RM21 hingga RM83

Vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Harga indikatif pemerolehan bagi vaksin COVID-19 dianggarkan antara AS$5 (RM21) hingga AS$20 (RM83).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, anggaran harga tersebut adalah untuk setiap orang.

"Kerajaan sedang berbincang mengenai model pemerolehan vaksin COVID-19 yang sesuai bagi rakyat Malaysia.

"Mengenai harga, kita sedang meninjau sekitar antara AS$5 (RM21) hingga AS$20 (RM83) bagi setiap orang. 

Ia adalah harga indikatif buat masa ini dan ia bergantung kepada rundingan," jelas beliau seperti dipetik Astro Awani.

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin 

 

Tambah beliau, terdapat beberapa vaksin yang ditawarkan pada kadar harga berkenaan, namun kesemuanya perlu melalui kajian untuk kesesuaian dos.

Selain itu, proses pembelian vaksin itu juga turut dikaji dari sudut perundangan negara.

Kerajaan juga mempunyai strategi untuk mendapatkan vaksin COVID-19 termasuk rundingan bersama syarikat farmaseutikal mengenai pembangunan vaksin.

"Malah Malaysia juga sedang dalam perbincangan bagi menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 global (COVAX) oleh Pakatan Vaksin Global (GAVI)," tambah beliau lagi. - DagangNews.com