Vaksin Sinovac: Pharmaniaga dijangka raih pendapatan RM850 juta | DagangNews Skip to main content

Vaksin Sinovac: Pharmaniaga dijangka raih pendapatan RM850 juta

Vaksin Sinovac

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mac. -  Syarikat farmaseutikal, Pharmaniaga Bhd. (Pharmaniaga) dijangka meraih pendapatan kira-kira RM850 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hasil pembekalan dan pengedaran vaksin Sinovac COVID-19.

 

CGS-CIMB Research berkata, bagi tahun kewangan 2022 pula, syarikat berkenaan mampu meraih sekitar RM150 juta daripada aktiviti sama.

 

"Kami menjangkakan sumbangan sekitar RM850 juta pada tahun kewangan 2021 dan RM150 juta pada tahun kewangan 2022 hasil pembekalan dan pengedaran 14 juta dos isi-dan-siap bagi vaksin Sinovac COVID-19.

 

"Kesemua dos tersebut melibatkan 12 juta dos yang akan dibekalkan kepada kerajaan dan 2 juta dos berkemungkinan akan dibekalkan kepada sektor awam," jelas CGS-CIMB Research.

 

.
Andaian pembekalan dan pengedaran vaksin COVID-19 isi-dan-siap yang dikeluarkan oleh Sinovac.

 

 

Malaysia menggunakan vaksin COVID-19 Sinovac bermula pada 18 Mac lalu yang menyaksikan Khairy Jamaluddin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin jenis itu di negara ini.

 

Sebanyak 200,000 dos dalam bentuk siap melalui penghantaran dua peringkat pada 15 dan 22 Mac selamat tiba di Malaysia.

 

.

 

Pada 22 Mac baru-baru ini juga, Pharmaniaga melalui anak syarikatnya iaitu Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membekal dan mengedarkan 200,000 dos vaksin COVID-19 produk siap yang diimport oleh Sinovac.

 

Perjanjian tersebut adalah tambahan kepada perjanjian untuk membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac isi-dan-siap di kilang yang terletak di Puchong, Selangor.

 

"Kami dimaklumkan bahawa dos yang melalui proses isi-dan-siap secara tempatan masih dalam proses kajian kestabilan bagi kelulusan akhir oleh  Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

 

"Kami menjangkakan pengedaran vaksin ke pusat kesihatan KKM akan bermula pada awal suku kedua 2021," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com