Vale sumbang RM2 juta menerusi program bantuan sosioekonomi kepada golongan sasar di Manjung | DagangNews Skip to main content

Vale sumbang RM2 juta menerusi program bantuan sosioekonomi kepada golongan sasar di Manjung

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Salah sebuah syarikat perlombongan terkemuka dunia, Vale menyumbang hampir RM2 juta kepada pelbagai golongan sasar di daerah Manjung, Perak.

 

Sumbangan melalui program bantuan sosioekonomi 'Vale Bersama Manjung' dilancarkan ketika pandemik bermula tiga tahun lepas. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia, Leonardo Paiva berkata, musim perayaan ini memberi peluang kepada syarikat untuk tampil lebih dekat dan mesra bersama dengan masyarakat tempatan, selaras dengan komitmen mereka untuk menyokong pembangunan komuniti yang holistik di Manjung. 

 

Beliau berkata, pihaknya sedar kesukaran dihadapi sesetengah keluarga, tiga tahun selepas pandemik. 

 

Terdahulu, Vale menyampaikan bantuan perayaan bernilai RM150 kepada 100 keluarga golongan sasar di Kampung Koh, Sitiawan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

 

Selain itu, Vale juga mengagihkan 40 pek barangan kepada Rumah Anak Yatim Wawasan dan Persatuan Kebajikan Warga Tua, Manjung yang mengandungi biskut perayaan dan teh berperisa. 

 

Secara keseluruhan, sumbangan sosial Tahun Baharu Cina Vale kali ini memberi manfaat kepada 140 ahli komuniti, dan melibatkan pelaburan sosial bernilai hampir RM17,000.

 

 

Tambah Leonardo, Kampung Koh merupakan salah satu penempatan tertua di Manjung, dan komuniti di sini banyak menyumbang kepada kepelbagaian budaya dan sosial yang unik di daerah ini. 

 

 

vale
Ketua Pegawai Pentadbiran Vale, Afzal Mohsin (dua, kanan) mengedarkan pakej Vale CNY Care kepada masyarakat Kampung Koh di Sitiawan, Manjung, Perak.

 

 

"Vale berbesar hati untuk memberikan bantuan dan meraikan musim perayaan bersama-sama mereka kali ini, selaras dengan strategi Vale Bersama Manjung yang kami dukung sejak 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

"Harapan kami, sumbangan syarikat kali ini dapat membantu mereka membuat persiapan bagi sambutan Tahun Baharu Cina dengan lebih ceria dan meriah," katanya.

 

 

vale

 

 

Kampung Koh Sitiawan, rumah anak yatim dan warga tua yang disantuni Vale kali ini terletak berhampiran dengan Terminal Maritim Teluk Rubiah (TRMT) Vale, hab pengedaran bijih besi utama Vale di Asia. Di TRMT, lebih 60% tenaga kerja Vale berasal dari daerah Manjung. - DagangNews.com