Value Partners Malaysia lancar ETF Saham-A China patuh syariah | DagangNews Skip to main content

Value Partners Malaysia lancar ETF Saham-A China patuh syariah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Syarikat tersenarai di Bursa Hong Kong, Value Partners Group Limited menerusi anak syarikatnya, Value Partners Asset Management Malaysia Sdn. Bhd. (Value Partners Malaysia) melancarkan VP-DJ Shariah China A-Shares 100 ETF (ETF Saham-A China).

 

Ini sekali gus akan menjadi ETF Saham-A pertama di dunia yang menjejaki prestasi indeks Dow Jones Islamic Market China A-Shares 100 (Indeks Penanda Aras).

 

Pengarah Urusan Value Partners Malaysia, Durraini Baharuddin berkata, pihaknya percaya bahawa ETF baharu ini akan memenuhi keperluan kedua-dua pelabur institusi dan individu yang ingin mencari nilai dalam pasaran saham-A China.

 

Durraini Baharuddin
Durraini Baharuddin

 

Kami mempunyai rekod prestasi yang panjang dalam memberikan pulangan pelaburan yang unggul selama hampir 30 tahun dan sentiasa berusaha untuk menyediakan produk inovatif kepada para pelabur kami. 

 

“Produk ini adalah suatu instrumen unik untuk pelabur Malaysia menyertai peluang yang ada dalam ekonomi baharu China berdasarkan prinsip-prinsip syariah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

ETF Saham-A China menggunapakai strategi replikasi penuh, di mana ETF akan memegang setiap konstituen Penanda Aras, dalam pewajaran yang sebahagian besarnya sama. 

 

Produk ini juga adalah ETF pertama Value Partners Malaysia yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

 

ETF Saham-A China memberikan para pelabur pendedahan kepada saham patuh syariah dalam ekuiti Saham-A China sejagat. 

 

Berdasarkan kriteria kuantitatif yang digunapakai oleh indeks, ETF Saham-A China akan memberi para pelabur pendedahan kepada ekonomi baharu China termasuk sektor-sektor seperti teknologi, kepenggunaan, penjagaan kesihatan dan 5G.

 

Metodologi syariah yang digunapakai menghendaki syarikat-syarikat disaring pada dua peringkat, pertamanya secara sektor dengan mengecualikan sektor-sektor yang haram dan sektor kewangan. 

 

Saringan kedua adalah saringan kuantitatif meliputi kecairan dan jumlah hutang berdasarkan metrik-metrik yang khusus dan diluluskan. 

 

Oleh itu secara automatik syarikat-syarikat patuh syariah akan mempunyai asas perniagaan yang kukuh disokongi kecairan modal yang sihat.

 

Untuk mencapai objektifnya, ETF Saham-A China akan melabur sehingga 100% daripada nilai aset bersih (NAV) dalam sekuriti yang dibenarkan, dengan pilihan untuk melabur sehingga 10% daripada NAV Dana dalam skim pelaburan kolektif Islam, instrumen pasaran kewangan Islam dan/atau deposit Islam. 

 

Para pelabur boleh membeli dan menjual unit-unit VP-DJ Shariah China A-Shares 100 ETF sepanjang hari perniagaan seperti mana-mana saham yang diperdagangkan secara awam, dengan lot dagangan minimum 100 unit. 

 

ETF Saham-A China akan dilancarkan pada harga tawaran permulaan sebanyak RM2.00 seunit, dalam satu majlis penyenaraian anjuran bersama oleh Bursa Malaysia dan Value Partners Malaysia pada Rabu, 28 Julai ini.

 

Sementara itu, Pengurus Dana Value Partners Malaysia, Kamal Mustadza berkata, pihaknya positif dan terus optimis terhadap aliran masuk modal asing ke pasaran China. 

 

Kamal Mustadza
Kamal Mustadza

 

Katanya, usaha berterusan China untuk membangun dan meningkatkan kebolehcapaian pasaran selama bertahun-tahun menjadikan pasaran China terlalu besar dan tidak patut diabaikan oleh para pelabur.

 

VP-DJ Shariah China A-Shares 100 ETF diuruskan Value Partners Malaysia, dan memegang saham-saham fizikal sebagai asas pelaburan. 

 

Ini adalah dana andalan Value Partners Malaysia yang ditawarkan kepada para pelabur institusi dan individu di Malaysia. 

 

Penanda Aras Indeks telah mengatasi Indeks CSI300 dengan memberikan pulangan terkumpul dalam ringgit, sebanyak 49.2%, 80.7% dan 118.7% untuk tempoh 1-tahun, 3-tahun dan 5-tahun masing-masing, berbanding Indeks CSI300 iaitu 34.4%, 66.2% dan 94.7% untuk tempoh yang sama, setakat 29 Jun 2021. 

 

Tiga sektor teratas Penanda Aras Indeks terdiri daripada perindustrian (31.5%), penjagaan kesihatan (26.3%) dan barangan konsumer (16.5%). - DagangNews.com