Vendor PLUS terima kontrak lebih RM4.5 bilion dalam tempoh 5 tahun yang lalu | DagangNews Skip to main content

Vendor PLUS terima kontrak lebih RM4.5 bilion dalam tempoh 5 tahun yang lalu

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menawarkan peluang kontrak secara purata bernilai lebih RM900 juta setiap tahun sejak lima tahun lalu kepada lebih 600 vendor yang berkelayakan.

 

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, sebahagian daripada kontrak tersebut melibatkan vendor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan ia merupakan komitmen PLUS terhadap pembangunan usahawan tempatan. 

 

"Bagaimanapun, sebelum pandemik COVID-19 melanda, kontrak melebihi RM1 bilion setahun ditawarkan kepada vendor-vendor yang berkelayakan untuk menampung keperluan operasi Lebuhraya PLUS

 

"PLUS merupakan salah satu daripada 26 buah syarikat ‘Anchor’ di bawah Program Pembangunan Vendor (PPV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam merealisasikan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

“Di bawah program PPV ini, PLUS secara aktif menyediakan platform bagi membantu vendor yang berdaftar untuk memperkembangkan potensi perniagaan dan kepakaran mereka dengan lebih meluas,” katanya dalam satu kenyataan selepas program PLUS Procurement Day, di Persada PLUS hari ini.

 

Azman berkata, sehingga kini, kira-kira 1,200 vendor tempatan telah berdaftar bersama PLUS merangkumi pelbagai kategori termasuk kontraktor, perunding dan pembekal yang menawarkan produk dan perkhidmatan dalam pelbagai bidang kerja antaranya penyelenggaraan, naik taraf, pengoperasian dan teknologi lebuh raya, ICT serta perkhidmatan korporat.

 

plus

 

“Aktiviti-aktiviti perolehan di PLUS juga telah membuka peluang perniagaan kepada lebih ramai subkontraktor dan pembekal untuk turut sama terlibat dalam industri lebuh raya di  negara ini. 

 

"Ia sekali gus dapat memperluaskan peluang perniagaan kepada mereka yang  terlibat di dalam perusahaan kecil dan sederhana, Ini juga dilihat sebagai inisiatif ke arah usaha memperkasa usahawan era baharu agar selari dengan pembangunan yang lebih lestari," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, PLUS Procurement Day bertujuan mengiktiraf sumbangan vendor dan kontraktor-kontraktor dalam menyokong pengoperasian cekap lebuh raya kendalian PLUS. 

 

"Program seumpama ini akan diteruskan lagi dalam memastikan vendor-vendor dan kontraktor-kontraktor kami mendapat maklumat terkini dari segi arah tuju syarikat serta perkembangan teknologi dan keperluan pelanggan kami," katanya. - DagangNews.com