Vikram Singh dilantik sebagai CEO Citi Malaysia mulai 1 Mei 2023 | DagangNews Skip to main content

Vikram Singh dilantik sebagai CEO Citi Malaysia mulai 1 Mei 2023

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 April - Vikram Singh akan memegang tampuk kepimpinan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Citi Malaysia pada 1 Mei 2023, kata kumpulan perkhidmatan kewangan itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

VIkram akan melaporkan terus kepada ketua Citi Asia Selatan dan ASEAN, Amol Gupte semasa beliau mengetuai pasukan negara francais Malaysia dan menyelia Pusat Penyelesaian Citi di negara ini.

 

Menurut Citi, Vikram menyertai kumpulan itu pada 1999 dan mempunyai pengalaman perbankan korporat selama 24 tahun menguruskan 18 pasaran di Asia Pasifik.

 

Beliau telah memegang pelbagai peranan kepimpinan di India dan Filipina, meliputi perbankan korporat dan pelaburan.

 

Peranan terbaharu beliau bersama Citi ialah sebagai ketua pengurusan akaun serantau Asia Pasifik, Kumpulan Subsidiari Global di Singapura.

 

"Malaysia ialah pasaran utama untuk Citi dan mempunyai francais institusi yang kukuh.

 

"Kerjaya dan pengalaman panjang Vikram dengan firma itu akan menjadi tidak ternilai dalam menerajui peringkat pertumbuhan seterusnya dalam pasaran yang turut menyokong banyak perniagaan dan fungsi global kami," kata Gupte. - DagangNews.com