Vincent Tan buat percubaan kedua dalam perniagaan TV selepas MiTV 'gagal teruk' | DagangNews Skip to main content

Vincent Tan buat percubaan kedua dalam perniagaan TV selepas MiTV 'gagal teruk'

Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun

KUALA LUMPUR 18 Dis - Taikun Malaysia, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun membuat percubaan kedua dalam perniagaan televisyen, selepas usahasamanya sebelum ini MiTV Corp Sdn Bhd, yang mengalami kerugian berjumlah RM250 juta, dalam kata-katanya sendiri, "gagal teruk".

 

Dalam usaha terbaharu, Tan mendapatkan anak syarikat milik persendiriannya U Telemedia Sdn Bhd, Ansat Broadcast Sdn Bhd, untuk bekerjasama dengan konglomerat Indonesia, PT MNC Digital Entertainment Tbk, untuk memperkenalkan perkhidmatan pengedaran kandungan televisyen untuk pelanggan di Malaysia dikenali sebagai 'Ok Vision'.

 

"Bertahun-tahun yang lalu, saya cuba melakukan perniagaan ini di bawah sebuah syarikat bernama MiTV. Saya cuba mencabar Astro (Malaysia Holdings Bhd) untuk menjadi penyedia kedua (perkhidmatan TV berbayar). 

 

"Malangnya, ia gagal dengan teruk. Saya kehilangan RM250 juta, dan saya fikir saya tidak akan terlibat dalam perniagaan ini (sekali lagi), sehingga saya bertemu Pak Hary (Pengerusi Eksekutif MNC, Hary Tanoesoedibjo)," kata Tan kepada pemberita pada majlis itu.

 

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan berapa banyak beliau melabur dalam usaha terbaharu itu.

 

Sementara itu, Hary berkata, kerjasama itu menyerlahkan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam menjangkaui sempadan dan menyampaikan rumusan kandungan termaju untuk khalayak di rumah.

 

"PT MNC berhasrat untuk mentakrifkan semula landskap hiburan dengan menyediakan pengalaman yang tidak dapat ditandingi dan memenuhi minat pelbagai khalayak di Malaysia dan Indonesia," katanya.

 

 

ok visions

 

 

Ini adalah kali kedua PT MNC bekerjasama dengan entiti Malaysia, selepas menjalin kerjasama dengan Digistar Corp Bhd pada Januari tahun ini untuk menyediakan kandungan digital untuk pasaran hospitaliti dan kediaman tempatan. - DagangNews.com