Vivocom terima pelaburan RM1.45 bilion dari firma AS, Strattner | DagangNews Skip to main content

Vivocom terima pelaburan RM1.45 bilion dari firma AS, Strattner

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Julai - Firma pelaburan dari Amerika Syarikat (AS), Strattner Alternative Credit Fund LP (Strattner) bersetuju untuk membuat pelaburan jangka panjang di dalam Vivocom International Holdings Berhad (Vivocom) bernilai AS$350 juta atau sekitar RM1.45 bilion.

 

Kedua-dua pihak itu telah menandatangani Perjanjian Utama (HOA) hari ini, menurut Vivocom dan Strattner dalam satu kenyataan bersama.

 

Peruntukan modal itu dilihat sebagai titik permulaan bagi kerjasama strategik berjangka panjang untuk mengembangkan pertumbuhan Vivocom menerusi aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) selain bertujuan membiayai projek-projeknya dalam sektor pembinaan, pembangunan hartanah dan dagangan mineral.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Vivocom, Datuk Seri Chia Kok Teong berkata, pelaburan itu tepat pada masanya memandangkan syarikat berhasrat untuk mengembangkan perniagaan menerusi M&A serta memperoleh syarikat-syarikat yang mempunyai strategi hebat.

 

Chia Kok Teong
Chia Kok Teong

 

“Hasil daripada kerjasama pelaburan ini juga akan digunakan sebagai modal bekerja untuk perniagaan dagangan pasir dan mineral kami,” jelas Kok Teong.

 

Sebagai rekod, Strattner Group Corp merupakan kumpulan pelaburan alternatif awam yang beroperasi di AS, Eropah dan Asia.

 

Di bawah kumpulan itu, Strattner Capital Management LLC dipertanggungjawabkan untuk menguruskan Strattner dan dana persendirian lain.

 

Menurut makluman Vivocom di Bursa Malaysia, syarat penting HOA itu menggariskan bahawa pelabur komited untuk membeli saham Vivocom sekitar RM1.45 bilion.

 

Secara agregat, ini tidak lebih daripada 9% modal saham yang diterbitkan syarikat dari semasa ke semasa, untuk jangka masa 18 bulan dari tarikh menandatangani Dokumentasi Definitif.

 

Sebagai pulangan, Vivocom mempunyai hak untuk mengurangkan modal mengikut keperluan sekali gus mengawal waktu dan jumlah tindakan berkenaan di bawah perjanjian tersebut.

 

Kaedah itu menyediakan alatan pembiayaan yang fleksibel untuk Vivocom dan syarikat boleh menggunakan wang tunai berdasarkan keperluan, sekiranya terdapat peluang yang muncul.

 

 

Timo Strattner
Timo Strattner

 

“Strattner berbesar hati dan gembira dapat melakukan pelaburan jangka panjang di dalam Vivocom kerana kami percaya syarikat mempunyai potensi pertumbuhan besar di bawah kepimpinan berwawasan Kok Teong," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Strattner, Dr Timo Strattner. - DagangNews.com