Volvo buka pusat servis khas terbesar di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Volvo buka pusat servis khas terbesar di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 April - Volvo Car Malaysia membuka pusat servis khas, 'Volvo Car Damage Repair Centre' yang baharu dan terbesar di Malaysia.

 

Pusat servis khas yang terletak di Juru, Pulau Pinang itu dilengkapi sistem moden dan termaju selaras dengan teknologi hijau terkini, selain dapat memastikan kerja-kerja baik pulih badan kereta dan cat berada pada kualiti tertinggi.

 

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump berkata, pembukaan pusat servis khas itu menandakan komitmen pihaknya dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan selepas jualan yang terunggul kepada pelanggan. 

 

"Para pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami dan hanya dalam jangka masa setahun, kami sudah membuka tiga pusat servis khas yang diharap akan dapat memberikan keyakinan kepada pelanggan bahawa mereka tetap terjaga dengan penjagaan standard antarabangsa Volvo," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dengan binaan seluas 40,000 kaki persegi, pusat ini dilengkapi teknologi terkini serta memiliki para juruteknik mahir. 

 

Ia juga mempunyai keupayaan mengendalikan jumlah kereta Volvo yang banyak dan mampu untuk memastikan kecekapan operasi, pembaikan berkualiti serta perkhidmatan sebaik mungkin untuk pelanggan.

 

Pusat servis khas ini direka bentuk secara moden dan praktikal untuk melengkapi estetik berunsur 'Scandinavia' yang dibawa jenama Volvo bersama sistem termaju selaras dengan teknologi hijau terkini. 

 

 

volvo

 

 

Antaranya adalah sistem pemeriksaan dan pembaikan kenderaan termaju, Car-O-Liner, yang mana sistem penjajaran badan dan casis yang begitu berkuasa dan tepat membolehkan juruteknik mengesan segala kerosakan, termasuklah yang mungkin tidak dapat dilihat pada mata kasar. 

 

Dengan Car-O-Liner, kerangka badan kereta yang rosak boleh dijajarkan semula mengikut standard kilang dengan tepat, pantas dan selamat untuk memastikan kepuasan pelanggan.

 

 

volvo

 

 

volvo

 

 

Pusat ini juga mempunyai ruang cat yang khusus iaitu bilik adunan PIVAB dan ruang semburan PIVAB, yang menyediakan persekitaran terkawal untuk juruteknik mengadun cat dengan tepat dan konsisten.

 

Manakala ruang semburan PIVAB membantu menyingkirkan asap dan partikel dari udara, untuk menyediakan ruang kerja lebih selamat dan sihat bagi para juruteknik. 

 

Kedua-dua teknologi ini juga dapat mengurangkan impak terhadap alam sekitar dan pada masa sama boleh memastikan kualiti cat terbaik untuk kereta. - DagangNews.com