Wasiyyah Shoppe selesaikan kes tuntutan pusaka bernilai RM700 juta | DagangNews Skip to main content

Wasiyyah Shoppe selesaikan kes tuntutan pusaka bernilai RM700 juta

Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin
oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Sept - Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah yang berkepakaran di dalam penyediaan dan pelaksanaan hibah, wasiat, pengurusan harta pusaka  dan pengurusan harta amanah, mengumumkan nilai harta pusaka pelanggan yang telah berjaya diselesaikan olehnya semenjak 2004.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Ariffin Sabirin berkata, nilai harta pusaka yang telah berjaya diuruskan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad sehingga ke tahap waris-waris menerima apa yang berhak untuk mereka berdasarkan dokumen perancangan yang telah dibuat dan  hukum syarak sehingga 31 Disember 2022 melebihi nilai RM 700 juta.

 

“Harta pusaka ini terdiri daripada hartanah dan harta alih seperti saham syarikat, wang tunai di akaun bank, akaun pelaburan saham amanah, kenderaan, saham koperasi dan pelbagai bentuk harta pusaka yang lain,” kata beliau.

 

Semenjak beroperasi pada 2004 , Wasiyyah Shoppe Berhad telah membantu lebih dari 80,000 orang umat Islam seluruh Malaysia merancang harta mereka melalui kaedah hibah, wasiat, harta sepencarian dan amanah.

 

Dari jumlah keseluruhan pelanggannya, 750 orang daripadanya telah meninggal dunia dan  proses perundangan menuntut harta pusaka mereka di Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi Sivil telah berjaya dibantu urus oleh Wasiyyah Shoppe Berhad sehingga waris-waris menerima bahagian mereka. 

 

 

parafrasa

 

“Perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad bersifat komprehensif. Kami membantu daripada peringkat pelanggan mula membuat dokumen perancangan harta  mereka seperti hibah, wasiat dan amanah semasa hidup.

 

"Apabila mereka meninggal dunia, kami membantu pula waris-waris melalui semua proses perundangan yang berkenaan sehinggalah ke tahap harta pusaka itu didaftarkan secara rasmi di atas nama waris-waris. Sebagai Syarikat amanah berdaftar, Wasiyyah Shoppe Berhad mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan tugasan tersebut,” kata Ariffin.

 

Menurut beliau, apa yang lebih unik dan membuatkan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad mendapat sambutan baik masyarakat ialah kerana waris-waris dibantu melalui proses perundangan tuntutan harta pusaka tanpa terbeban dengan fi perkhidmatan.

 

“Kami faham bahawa faktor fi perkhidmatan menyebabkan ramai waris yang menangguhkan urusan harta pusaka. Waris bimbang mereka akan dikenakan pelbagai fi perkhidmatan yang tidak dapat dikenal pasti nilainya.

 

"Oleh itu Wasiyyah Shoppe Berhad telah mengambil inisiatif menjadi satu-satunya syarikat amanah di Malaysia yang membantu waris-waris pelanggannya melalui semua proses perundangan tanpa perlu membayar apa-apa fi perkhidmatan kepada kami. Harta pusaka juga diterima sepenuhnya oleh waris-waris tanpa dipotong dengan apa-apa fi,” jelas Ariffin.


 

wasiyyah

 

Bagi memastikan keberkesanan perkhidmatannya, melalui Panel Syariah yang berpengalaman luas dan berkepakaran tinggi di dalam hukum Syarak, undang-undang Syariah dan perundangan harta pusaka,  Wasiyyah Shoppe Berhad sentiasa memastikan semua dokumen perancangan hartanya patuh syariah sepenuhnya dan dalam masa yang sama boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang di Malaysia.

 

Kejayaan Wasiyyah Shoppe Berhad menguruskan harta pusaka pelanggan sehingga ke tahap waris-waris menerimanya dengan sah, mudah dan tanpa fi perkhidmatan kepada waris adalah testimoni kepada keberkesanan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad, kata Ariffin.  - DagangNews.com