PETALING JAYA 22 Feb - Syarikat amanah patuh syariah, Wasiyyah Shoppe Bhd menjangkakan pendapatan sebanyak RM7 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 menerusi aplikasi pelaksanaan akad dan penyimpanan dokumen hibah tanpa kertas pertama di dunia yang dikenali sebagai UsraHDD.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Ariffin Sabirin berkata, pihaknya turut menyasarkan seramai 100,000 pelanggan dalam tempoh dua tahun menggunakan aplikasi yang dilancarkan pada pertengahan Disember 2022 itu.
Beliau berkata, pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM750,000 untuk pembangunan aplikasi tersebut sejak pandemik C0VID-19.
Ujarnya, idea pembangunan sistem itu bermula semenjak ekonomi dunia berubah akibat pandemik.
"Kami mengenalpasti faktor kekangan jarak, penjagaan kesihatan awam, mobiliti manusia dan trend digitalisasi global sebagai cabaran utama yang mempengaruhi ekonomi dunia termasuklah landskap industri perancangan harta secara syariah pada masa akan datang terutamanya tentang bagaimana pelaksanaan akad dan penyimpanan dokumen hibah boleh dibuat.
"Oleh demikian, sistem ini dibangunkan bagi mengatasi semua cabaran tersebut," katanya dalam sidang akhbar memperkenalkan sistem hibah tanpa kertas pertama di dunia, UsraHDD di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Teknologi Himayah Technology Sdn Bhd, Omar Mokhtar Kasim.
Menurut Ariffin, sebelum pandemik, pemberi dan penerima hibah yang ingin melaksanakan akad perlu bertemu di dalam sebuah majlis bagi menyempurnakan akad hibah.
Bagaimanapun katanya, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) di kuat kuasakan pada 18 Mac 2020, majlis akad hibah secara fizikal tidak boleh dilaksanakan.
"Bagi mengatasi kekangan fizikal ini, Wasiyyah Shoppe juga membangunkan kaedah akad hibah melalui aplikasi Zoom pada April 2020 yang membolehkan pemberi dan penerima akad hibah dari mana-mana lokasi di seluruh dunia.
"Namun, pelaksanaan kaedah ini juga rumit dan memakan masa sehingga berjam-jam lamanya. Melalui aplikasi UsraHDD, pemberi dan penerima hibah boleh berada di mana sahaja lokasi di seluruh dunia yang mempunyai capaian internet serta dilaksana secara waktu sebenar melalui telefon pintar sahaja," katanya.
Katanya, selepas akad disempurnakan dokumen hibah akan disimpan secara digital di dalam sistem awan.
Tambahnya, proses akad hibah melalui aplikasi tersebut hanya mengambil masa kurang dari 15 minit di samping ia lebih selamat kerana disertakan dengan proses pengenalan diri Kenali Pelanggan Anda (e-KYC) yang menggunakan kaedah teknologi kecerdasan pintar (AI) terkini.
"Dokumen-dokumen hibah yang dilaksanakan menerusi aplikasi UsraHDD telah melalui proses saringan ketat daripada panel syariah Wasiyyah Shoppe dan patuh hukum syarak sepenuhnya mengikut undang-undang syariah di Malaysia," katanya.
BACA JUGA: Wasiyyah Shoppe komited didik umat Islam rancang pengurusan harta pusaka
Wasiyyah Shoppe menawarkan pakej pengurusan hibah bermula dengan harga RM1,600 selain pelanggan boleh membuat bayaran secara ansuran sehingga 5 tahun. - DagangNews.com