Wentel Engineering sasar RM71.03 juta daripada IPO di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Wentel Engineering sasar RM71.03 juta daripada IPO di Pasaran ACE

Wong Chun Wei (tiga dari kiri) bersama pengurusan tertinggi Wentel Engineering pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu di ibu negara hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Jan - Syarikat fabrikasi logam, Wentel Engineering Holdings Berhad (Wentel Engineering) menyasarkan untuk mengumpul RM71.03 juta  daripada tawaran awam permulaan (IPO) selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 Februari 2024.

 

Hasil yang diraih akan digunakan untuk pengembangan perniagaan syarikat bagi fasa berikutnya dengan 56.31 peratus daripadanya akan digunakan bagi membiayai pembinaan kilang baharu manakala 35.24 peratus lagi untuk menampung pembelian peralatan serta mesin.

 

Menerusi modal saham yang diperbesarkan sebanyak 1,150 juta dan harga IPO sebanyak 26 sen sesaham, kumpulan itu akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM299 juta selepas penyenaraian.

 

IPO syarikat itu membabitkan tawaran awam sebanyak 273.2 juta saham biasa baharu.

 

Pengarah Eksekutif Wentel Engineering, Wong Chun Wei berkata, IPO ini menawarkan peluang kepada syarikat untuk terus berkembang dan mewujudkan kemudahan berteknologi tinggi untuk industri masa depan.

 

"Kami mempunyai rekod prestasi yang mantap selama kira-kira 22 tahun sebagai syarikat fabrikasi logam separuh siap dan kira-kira 18 tahun sebagai pemasang produk siap sejak mula beroperasi pada tahun 2001. 

 

"Sejak permulaan perniagaan, kami telah membina rangkaian hubungan dengan beberapa pelanggan utama telah berurusan dengan kami selama 10 tahun atau lebih. Ini menunjukkan keupayaan Wentel Engineering untuk terus memenuhi keperluan pelanggan," katanya.

 

Chun Wei melancarkan prospektus syarikat di sebuah hotel di sini hari ini.

 

Terletak di Johor Bahru, Wentel Engineering terlibat dalam fabrikasi produk logam separuh siap, fabrikasi bahagian logam dan pemasangan produk siap untuk pengeluar beberapa industri seperti peralatan pemeriksaan keselamatan, mesin kawalan berangka komputer, peralatan pembuatan semikonduktor, perubatan peralatan diagnostik, koc penumpang dan pencetak 3D industri. 

 

Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities Holdings Berhad, Ku ​​Mun Fong berkata, prestasi Wentel Engineering dalam tempoh dua dekad lalu telah membawa syarikat tersebut berkembang pada kedudukan hari ini.

 

"IPO syarikat pastinya melonjakkan lagi nama Wentel Engineering dalam pasaran selain membiayai perkembangan syarikat," jelasnya. 

 

TA Securities ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO.- DagangNews.com