Western Digital tambah pelaburan RM2.3 bilion besarkan kilang di Sarawak, Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Western Digital tambah pelaburan RM2.3 bilion besarkan kilang di Sarawak, Pulau Pinang

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Syarikat pengeluar pemacu cakera keras dan storan data daripada Amerika Syarikat, Western Digital akan menambah pelaburan RM2.3 bilion bagi meningkatkan kemudahan dan kapasiti pengeluaran syarikat itu di Malaysia.

 

Pelaburan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan syarikat berkenaan sebanyak RM18 bilion sejak ia mula bertapak di Malaysia pada 1973.

 

Pengerusi Western Digital Malaysia, Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, pelaburan itu bertujuan mengembangkan kemudahan kilang sedia adanya di Pulau Pinang dan Kuching, Sarawak dengan masing-masing membabitkan pelaburan RM1.3 bilion dan RM1 bilion.

 

"Pelaburan ini akan menawarkan 2,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan sebaik pelan pengembangan di kedua-dua kilang ini siap dibangunkan dua tahun lagi.

 

"Kos penggajian Western Digital di Malaysia juga dijangka meningkat kira-kira RM80 juta setahun dengan pertambahan pekerjaan ini," katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.

 

aaa
MUHYIDDIN YASSIN (dua dari kanan) berbual dengan pengurusan Western Digital iaitu Syed Hussian Aljunid (dua dari kiri) dan Oung Kheng Huat dan Bock Kim Lee di Putrajaya, Khamis. - Gambar TV3

 

Yang turut hadir Naib Presiden dan Pengurus Besar Media dan Operasi Substrate Malaysia, Oung Kheng Huat dan Naib Presiden Operasi Sokongan Flash Global Western Digital di Malaysia, Bock Kim Lee.

 

Menurut Syed Hussian, keputusan Western Digital untuk menambah pelaburan baharu ke Malaysia didorong oleh keadaan operasi yang memuaskan dan sokongan yang diterimanya daripada Perdana Menteri, kementerian dan agensi berkaitan.

 

"Kami ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan di atas sokongan berterusan kepada industri pembuatan Malaysia terutama sewaktu pandemik COVID-19.

 

Sementara itu Kheng Huat, berkata kilangnya di Pulau Pinang dan Kuching telah mencapai kapasiti penuh yang menyebabkan pihaknya memutuskan untuk mengembangkannya.

 

"Menerusi pengembangan ini, kilang-kilang ini berupaya meningkatkan kapasiti sedia ada sebanyak 30% selepas ia siap sepenuhnya nanti," katanya.

 

Syarikat itu ketika ini menggajikan lebih 9,000 pekerja di Malaysia dan pada tahun lalu mencatat jumlah keseluruhan eksport sebanyak RM18 bilion. - DagangNews.com