Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Sept. – Pengendali rangkaian mudah alih maya yang telah berkembang sebagai syarikat teknologi inovatif, XOX Berhad (XOX) dengan kerjasama AntChain membangunkan aplikasi TraX untuk meningkatkan kebolehkesanan dan keselamatan makanan.
Sehubungan itu, kumpulan restoran Cina terkemuka, Oversea Enterprise Berhad (Oversea) merupakan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pertama di Asia Tenggara menggunakan aplikasi itu untuk produk kuih bulannya.
Ketua Pegawai Eksekutif XOX, Ng Kok Heng berkata, susulan pelancaran TraX dalam industri makanan, pihaknya juga merancang untuk membangunkan penyelesaian-penyelesaian pada platform TraX yang disesuaikan dengan keperluan pelbagai saiz perniagaan termasuk sektor farmasi.
“Kami berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama ini dengan AntChain.
“Kami yakin teknologi blok rantai ialah kunci untuk mempercepat transformasi digital bagi perusahaan dan PKS, supaya jenama-jenama dalam pasaran dapat membina kepercayaan pengguna menerusi cara berniaga yang telus dan pengalaman pengguna yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dikuasakan oleh Kebolehkesanan-sebagai-Perkhidmatan (TaaS) AntChain, TraX merupakan platform aplikasi sesawang dan mudah alih yang dibangunkan oleh XOX bagi menyediakan penyelesaian yang fleksibel, tangkas dan jimat kos untuk PKS dan perusahaan.
Tujuannya adalah bagi meningkatkan kebolehkesanan produk dan ketelusan maklumat pada rantaian bekalan bagi mencegah penipuan dan melindungi kesahihan produk.
Oversea Enterprise telah menerapkan TraX untuk mengesan produk kuih bulannya di mana pengguna hanya perlu mengimbas kod QR pada bungkusan untuk mendapatkan pelbagai maklumat produk, termasuk ramuan utama, tarikh pembuatan dan tarikh luput serta pensijilan Halal.
Di samping itu, pengguna juga dapat mengesan semua fasa produk bermula daripada pembuatan sehingga penghantaran.
Timbalan Pengurus Besar Kumpulan, Oversea Enterprise, Soh Jin Yiat berkata, sebagai pemain dalam industri Makanan & Minuman (F&B), pihaknya mengutamakan keselamatan makanan.
“Penerapan teknologi blok rantai seperti TaaS AntChain adalah selari dengan komitmen kami kepada pengguna dan usaha berterusan untuk meningkatkan kebolehkesanan maklumat serta ketelusan pada rantaian bekalan kami. Kami yakin ini akan membantu mengekang pemalsuan produk dalam pasaran sekali gus mengukuhkan lagi kepercayaan jenama,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Perniagaan Antarabangsa AntChain, Kenny Tan percaya Industri makanan khususnya memerlukan peningkatan kebolehkesanan produk kerana wujudnya pelbagai cabaran seperti kekurangan ketelusan maklumat menyeluruh, risiko pemalsuan maklumat rantaian bekalan yang tinggi, serta risiko operasi seperti penarikan semula produk dan keselamatan makanan.
“Jadi, penyelesaian berasaskan blok rantai seperti TaaS AntChain merupakan penyelesaian kami untuk mengukuhkan kepercayaan dalam industri,” tambah beliau. – DagangNews.com