XOX syarikat telekomunikasi pertama sedia khidmat penghantaran ke rumah | DagangNews Skip to main content

XOX syarikat telekomunikasi pertama sedia khidmat penghantaran ke rumah

X-Truck yang digunakan oleh ONEXOX sebagai kedai runcit bergerak
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept - XOX Bhd (XOX) dan One XOX Sdn Bhd (ONEXOX) menjadi syarikat telekomunikasi pertama menyediakan perkhidmatan penghantaran pelan SIM ke rumah, yang meliputi semua negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, XOX dan ONEXOX berkata pengenalan X-Bike dan X-Truck merupakan tambahan terbaharu kepada sayap perkhidmatan pelanggan, sejajar dengan komitmen mereka ke arah menyediakan perkhidmatan sambungan dan telekomunikasi yang inklusif kepada pelbagai segmen pelanggan.

 

X-Bike ialah perkhidmatan pertama seumpamanya di Malaysia untuk syarikat telekomunikasi, yang menyediakan perkhidmatan penghantaran sehingga di depan pintu rumah.

 

Menerusi perkhidmatan tersebut, pengedar XOX yang ditugaskan akan menghantar permintaan pesanan pelanggan ke lokasi yang ditetapkan.

 

 

xox

 

 

Sementara itu, X-Truck ialah kedai runcit bergerak yang akan banyak digunakan untuk jerayawara dan acara di seluruh negara, yang turut berfungsi sebagai papan tanda jenama bergerak untuk lawatan promosi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan XOX, Ng Kok Heng berkata X-Bike dan X-Truck akan memudahkan dan meringankan beban pengguna untuk mendapatkan talian telekomunikasi dan perkhidmatan data internet pada kadar berpatutan dalam jangkauan mereka.

 

 

Ng Kok Heng
Ng Kok Heng

 

 

Kami menyediakan perkhidmatan dan kemudahan 360 darjah kepada pelanggan, tanpa mengira lokasi.

 

“Dengan adanya X-Bike dan X-Truck, misi utama kami adalah untuk memastikan tiada sesiapa yang terpinggir dalam mendapatkan keperluan penting,” katanya.

 

Beliau berkata produk kumpulan itu adalah antara produk yang berdaya saing dalam pasaran dengan data dan panggilan tanpa had untuk kedua-dua pelan prabayar dan pascabayar, memberikan pelanggan lebih nilai untuk wang mereka.

 

"Berdasarkan penambahbaikan berterusan yang telah kami laksanakan ke atas produk, kami menjangkakan lonjakan permintaan pasaran. X-Bike bersedia untuk memenuhi keperluan ini dengan lebih pantas," kata Kok Heng.

 

Setakat ini, sebanyak 50 unit X-Bike dan lima unit X-Truck tersedia menyediakan perkhidmatan mereka meliputi semua negeri di Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com