Yang di-Pertuan Agong tambah lagi saham dalam Citaglobal, kini miliki 9.90% kepentingan | DagangNews Skip to main content

Yang di-Pertuan Agong tambah lagi saham dalam Citaglobal, kini miliki 9.90% kepentingan

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Nov - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terus menambah saham peribadinya di dalam syarikat Citaglobal Bhd yang kini berjumlah 9.90%.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Citaglobal menyatakan bahawa baginda telah membeli tambahan 1.6 juta saham pada 27 Oktober selepas memperoleh 741,700 saham pada 25 Oktober dan 1.3 juta pada 26 Oktober lalu.

 

Ini meningkatkan pegangan saham langsung baginda dalam Citaglobal kepada 41.37 juta saham, atau 9.907%.

 

Citaglobal ditutup tidak berubah pada RM1.59 dengan 1.67 juta saham diniagakan pada petang Selasa.

 

 

citaglobal

 

 

Pada 27 Oktober lalu, Citaglobal mengumumkan syarikat itu memperluaskan skop perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan telekomunikasinya menerusi pengambilalihan 30% kepentingan dalam syarikat sistem kabel dasar laut iFACTORS Sdn. Bhd. berharga RM25.2 juta.

 

Perjanjian itu dijangka memberi manfaat kepada pendapatan Citaglobal, yang mana pembelian itu dilengkapi dengan jaminan keuntungan bersih selama dua tahun sebanyak RM21 juta, dan iFACTORS mempunyai buku pesanan sebanyak RM528 juta.

 

Kumpulan juga mempunyai pilihan untuk membeli tambahan 21% saham iFACTORS setelah jaminan keuntungan sebanyak RM21 juta telah tercapai.

 

Bagi pengambilalihan itu, Citaglobal akan membeli 30% saham melalui gabungan tunai dan saham pertimbangan baharu berharga RM1.50 setiap satu. - DagangNews.com