Yayasan Hasanah lanjut tempoh permohonan Geran Khas Hasanah sehingga 15 Ogos 2022 | DagangNews Skip to main content

Yayasan Hasanah lanjut tempoh permohonan Geran Khas Hasanah sehingga 15 Ogos 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai - Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) hari ini melanjutkan tempoh permohonan bagi Geran Khas Hasanah (HSG) 2022, sehingga 15 Ogos 2022.

 

Dana ini adalah sebahagian daripada RM100 juta yang diperuntukkan bersama MOF di bawah Bajet 2022, yang menyasarkan lima bidang impak di bawah pengawasan Yayasan Hasanah, iaitu Pendidikan, Pembangunan Masyarakat, Alam Sekitar, Kesenian dan Ruang Awam serta Pengetahuan.

 

HSG2022 menganugerahkan peruntukan maksimum RM2.5 juta bagi projek yang diluluskan yang boleh menjangkau sehingga tiga tahun. 

 

Dana tersebut menyediakan pembiayaan untuk Pembangunan Organisasi untuk mengukuhkan operasi dalaman rakan kerjasama, dan pembiayaan Pengurusan Program untuk menyokong kemampanan inisiatif-inisiatif rakan kerjasama.

 

Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, yayasan mengambil maklum bahawa sesetengah organisasi memerlukan sedikit masa lagi untuk menghasilkan program dan inisiatif baharu, yang sesuai dengan cabaran ekonomi semasa. 

 

"Oleh itu, tarikh tutup permohonan HSG2022 akan dilanjutkan untuk membolehkan kami menerima permohonan-permohonan baharu daripada rakan kerjasama kami untuk dipertimbangkan. Walau demikian, saya menggalakkan para pemohon supaya cepat bertindak sebelum peruntukan habis.

 

"Kami sudah mula melihat lebih banyak kerentanan yang lebih ketara seiring dengan peningkatan kos makanan dan inflasi yang melanda rakyat. 

 

"Kami berharap lanjutan tarikh tutup permohonan ini akan membolehkan rakan kerjasama yang berpotensi, mengambil peluang dengan masa tambahan diberikan untuk mengukur dan menyelaras semula perkara yang diperlukan sepanjang suku tahun berikut serta masa depan dari segi projek mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Shahira berkata, beliau juga berharap garis masa tambahan itu membolehkan cadangan berkualiti dikemukakan, untuk menangani pelbagai isu mendesak di dalam masyarakat hari ini, termasuk kesihatan mental, pendapatan serta pencarian, program pemulihan dan pemerkasaan pendidikan, perlindungan alam sekitar, keselamatan makan dan lain-lain lagi.

 

Antara penerima HSG2022 yang telah diumumkan termasuk Global Education Leaders Malaysia Bhd (pemimpin GSL), USAINS Holding Sdn Bhd, Bring the Opportunity Programme (BTOP) PLT, DIA Academy Sdn Bhd, Pepper Labs Sdn Bhd (Masala Wheels), Peduli Insan and USAINS Infotech Sdn Bhd and Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia.

 

Semakan kelayakan dan permohonan Geran Khas Hasanah 2022 boleh dilakukan di capaian https://yayasanhasanah.org/hasanah-special-grant-2022. - DagangNews.com