KUALA TERENGGANU 1 Sept - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah menyalurkan sebanyak RM3.7 juta untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sejak 1 Jan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rashdan Muda berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS).
Beliau berkata, ia adalah sebahagian usaha kerajaan negeri membantu semula usahawan yang terjejas selama dua tahun akibat pandemik COVID-19 sejak 2020.
Menurutnya, setakat ini seramai 1,325 usahawan PMKS telah mendapat manfaat dari peruntukan tersebut untuk mengembangkan lagi empayar perniagaan masing-masing.
"Terdapat sembilan kategori berasingan disediakan di bawah TUGAS dengan sasaran penerima berbeza di mana pertunjukan tertinggi ialah melalui Dana Peniaga & Usahawan Terengganu sebanyak RM1.65 juta yang telah diberi kepada 1,100 peniaga setakat ini.
"Selain itu, Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (RM777,000 kepada 37 usahawan), Tabung Siti Khadijah (RM636,000 kepada 32 usahawan) dan Skim Perantau (RM240,000 kepada lapan usahawan).
"Kita juga telah menyalurkan sebanyak RM224,500 kepada 124 usahawan melalui Skim Pembiayaan Bazaar Ramadan, Skim Perniagaan Atas Talian (RM70,000 kepada tujuh usahawan), Dana Usahawan IKS (RM51,928 kepada 11 usahawan), T'Cap (RM50,000 kepada seorang usahawan) dan Dana Prihatin (RM23,965.20 kepada lima usahawan)," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Bagi merancakkan lagi sektor ekonomi negeri, YPU turut melibatkan ramai usahawan PMKS melalui penganjuran karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera yang sedang berlangsung di semua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri secara berperingkat ketika ini.
"Kita banyakkan aktiviti promosi dan jualan ini agar usahawan boleh memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka secara lebih meluas di Terengganu dan menambah rangkaian perniagaan melalui sesi padanan perniagaan dengan pasar raya-pasar raya besar.
"Selain itu, kita terbangkan juga beberapa usahawan menyertai Malaysia Fest 2022 berlangsung di Singapura baru-baru ini antaranya pakaian berasaskan batik dari Seem Noor Batik, pes masakan dari Tenang Recipe serta keropok satar dari Dapo Boonde," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut berpuas hati dengan prestasi perniagaan semua peminjam kerana kemajuan mereka turut dipantau oleh YPU dari masa ke semasa agar sentiasa fokus dengan memperkukuhkan jenama produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
"Dalam masa yang sama pelbagai aktiviti keusahawanan termasuklah latihan, promosi, penyediaan infra dan bimbingan berterusan terus dilaksanakan oleh agensi dibawah kerajaan negeri serta agensi persekutuan di Negeri Terengganu," ujarnya.
Antara kursus dan seminar yang dianjurkan oleh YPU dengan kerjasama pihak lain ialah Klinik Usahawan Bersama Agensi Keusahawanan di setiap daerah, Seminar Sumber Manusia Kepada Industri Kecil Sederhana (IKS), Seminar Kewangan dan pelbagai lagi.
Selain itu, kerajaan negeri melalui YPU juga dalam perbincangan bersama syarikat petroleum terbesar negara, Petronas untuk membawa masuk produk usahawan Terengganu ke Outlet Mesra di bawah kelolaan Petronas. - DagangNews.com