Kerjasama Yinson dan GTMA akan membantu mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Yinson Holdings Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Yinson Green Technologies (M) Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian terma dengan GreenTech Malaysia Alliances Sdn. Bhd. (GTMA) untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
GTMA adalah anak syarikat milik penuh di bawah Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).
Perjanjian terma itu menetapkan syarat penting usaha sama antara kedua-dua pihak dengan kepentingan majoriti dimiliki oleh Yinson untuk menyediakan stesen pengecas EV di Malaysia, membina rangkaian ChargEV dengan lebih 400 stesen pengecasan di seluruh negara yang ditubuhkan oleh MGTC, yang akan disuntik ke dalam syarikat usaha sama tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan berkata, usaha sama itu menunjukkan peluang yang unik bagi kedua-dua pihak untuk menggabungkan kekuatan masing-masing bagi mempercepatkan peralihan Malaysia kepada persekitaran rangkaian pengangkutan yang lebih lestari.
"Yinson dan GTMA secara dasarnya berkongsi matlamat yang sama untuk menggalakkan penggunaan EV di Malaysia sekali gus membantu menangani isu perubahan iklim di peringkat global.
"Dengan menandatangani perjanjian terma ini, ia dilihat sejajar dengan pelaburan Yinson baru-baru ini dalam e-mobiliti, penyelesaian tanpa pemandu dan pelabuhan elektrik, yang mencerminkan langkah kumpulan seterusnya untuk membina penyelesaian hijau mudah alih bersepadu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah GTMA, Datuk Hiswani Harun berkata, kerjasama tersebut membolehkan rangkaian stesen pengecasan ChargEV semakin berkembang dan menggalakkan lebih ramai pengguna EV di seluruh negara.
"Untuk itu, kami akan meneroka beberapa mekanisme pelaksanaan seperti pembelian langsung, pajakan dan pembangunan berorientasikan transit.
"Usaha ini bukan sahaja membantu kami dalam menangani perubahan iklim tetapi meningkatkan ekonomi hijau tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia," jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa semua sektor sama ada awam atau swasta untuk tampil ke hadapan dengan idea inovasi bagi membantu Malaysia mencapai sasaran mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang 2030. - DagangNews.com