Yinson kumpul RM283.2 juta daripada penempatan persendirian, KWAP muncul pelabur utama | DagangNews Skip to main content

Yinson kumpul RM283.2 juta daripada penempatan persendirian, KWAP muncul pelabur utama

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Yinson Holdings Berhad telah memperoleh RM283.2 juta selepas menyelesaikan proses pembinaan buku dipercepat, yang akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan teknologi hijau.

 

Pelaksanaan penempatan persendirian itu melibatkan 120 juta saham baharu atau 4.1% daripada jumlah saham diterbitkannya kepada pelabur institusi terpilih pada harga terbitan RM2.36 sesaham.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan menekankan prospek kukuh perniagaan boleh diperbaharui dan teknologi hijau kumpulan yang disokong oleh keperluan kritikal dunia untuk mengukuhkan infrastruktur tenaga bersih global bagi memudahkan peralihan tenaga yang adil dan saksama. 

 

“Hasil daripada penempatan persendirian ini akan membolehkan kami mempercepatkan pelan strategik Yinson Renewables dan Yinson GreenTech untuk memanfaatkan peluang pasaran, yang kami yakin bakal menyumbang kepada pulangan yang lebih kukuh dan mampan dalam jangka panjang,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini. 

 

Menurut Yinson, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] merupakan pelabur utama yang menyokong penempatan persendirian untuk peralihan tenaga tersebut dengan melanggan 50 juta saham.

 

Sebagai penandatangan Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab PBB (UN PRI), komitmen KWAP terhadap amalan pelaburan yang bertanggungjawab menggariskan penggemblengan modal ini

 

Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, pelaburan pihaknya adalah sejajar dengan komitmen mereka terhadap pelaburan yang bertanggungjawab.

 

“Dengan memanfaatkan modal kepada inisiatif peralihan tenaga, kami berhasrat untuk memupuk impak alam sekitar yang positif sambil memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan kami,” katanya.

 

AmInvestment Bank telah dilantik sebagai penasihat dan ejen penempatan untuk penempatan persendirian ini. - DagangNews.com