YTL Hospitality REIT beli Hotel Stripes di Chow Kit berharga RM138 juta | DagangNews Skip to main content

YTL Hospitality REIT beli Hotel Stripes di Chow Kit berharga RM138 juta

Hotel Stripes Kuala Lumpur, Autograph Collection merupakan hotel lima bintang, terletak di Jalan Kamunting, Chow Kit di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 6 Sept - YTL Hospitality Real Estate Investment Trust (YTL Hospitality REIT) membeli Hotel Stripes Kuala Lumpur, Autograph Collection berharga RM138 juta, dalam transaksi pihak berkaitan (RPT).

 

Maybank Trustees Bhd, sebagai pemegang amanah untuk REIT, menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan vendor, Hotel 25 Sdn Bhd, pada Rabu untuk membeli hartanah itu pada harga RM138 juta. Perkara ini diumumkan oleh pengurus YTL Hospitality REIT, Pintar Projek Sdn Bhd.

 

Setelah selesai cadangan pengambilalihan, hotel itu akan dipajak kembali ke Hotel 25 (nama syarikat) untuk tempoh awal 15 tahun, dengan pilihan diberikan untuk memperbaharui pajakan selama 15 tahun tambahan.

 

Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi pelaburan dan pengembangan portfolio REIT, menurut YTL Hospitality REIT dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Hotel Stripes Kuala Lumpur, Autograph Collection merupakan hotel lima bintang, terletak di Jalan Kamunting, Chow Kit di Kuala Lumpur. Setakat 30 Jun 2022, nilai buku bersih yang telah diaudit bagi hartanah itu berjumlah RM48.7 juta.


 

the stripes
Pintu masuk ke Hotel Stripes Kuala Lumpur, Autograph Collection di Chow Kit, Kuala Lumpur

 


Pertimbangan pembelian sebanyak RM138 juta itu dijangka dibiayai melalui pinjaman atau dana yang dijana secara dalaman, kata YTL Hospitality REIT dalam pemfailan bursa tempatan.

 

Hotel 25 (dahulunya dikenali sebagai Dynamic Property Management Sdn Bhd), yang terlibat secara prinsip sebagai pengendali hotel, adalah unit milik penuh tidak langsung YTL Corp Bhd.

 

Mengenai rasional cadangan pengambilalihan itu, YTL Hospitality REIT berkata langkah itu adalah selaras dengan objektif pelaburan kumpulan untuk terus memperoleh dan melabur dalam hartanah hospitaliti berkualiti tinggi di Malaysia dan antarabangsa, dengan tujuan untuk menyediakan pengagihan pendapatan jangka panjang serta mampan kepada pemegang unit, dan mencapai pertumbuhan jangka panjang dalam nilai aset bersih seunit.

 

“Perjanjian pajakan akan menyediakan REIT dengan bayaran sewa tetap daripada pemajak, dengan peruntukan peningkatan sebanyak 5% untuk setiap lima tahun.

 

"Oleh itu, cadangan pajakan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan boleh agih masa hadapan dan pengagihan seunit REIT selepas mengambil kira, antara lain, pendapatan tambahan yang diterima daripada pengaturan pajakan dan anggaran kos pinjaman,” katanya.

 

Cadangan itu dianggap sebagai RPT, kerana YTL Corp ialah pemegang saham utama tidak langsung Pintar Projek berdasarkan pegangan saham utamanya dalam YTL Land Sdn Bhd, syarikat induk Pintar Projek.

 

YTL Corp juga merupakan pemegang unit utama YTL Hospitality REIT dan pemegang saham utama tidak langsung Hotel 25. Cadangan pengambilalihan ini dijangka disempurnakan pada separuh kedua tahun ini. - DagangNews.com