YTL Power guna superkomputer AI termaju Nvidia di pusat data Johor | DagangNews Skip to main content

YTL Power guna superkomputer AI termaju Nvidia di pusat data Johor

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mac - YTL Power International Bhd telah menubuhkan YTL AI Cloud, penyedia khusus pengkomputeran dipercepatkan berasaskan unit pemprosesan grafik (GPU) berskala besar, untuk menggunakan dan mengurus salah satu superkomputer tercanggih di dunia pada DGX Cloud yang dikuasakan oleh Nvidia Grace Blackwell, superkomputer kecerdasan buatan (AI) untuk mempercepatkan pembangunan AI generatif.

 

Superkomputer AI kumpulan itu akan ditempatkan di kemudahan pusat data seluas 663.68 hektar di Kampus Pusat Data Hijau YTL, Johor, dikuasakan oleh sumber tenaga boleh diperbaharui daripada loji tenaga solar 500MW di tapak, kata YTL Power dalam satu kenyataan media

 

Superkomputer ini akan membantu memenuhi permintaan untuk rumusan berasaskan awan berprestasi tinggi yang berskala tinggi untuk AI dan beban kerja pembelajaran mesin. Johor berada dalam jarak 50km dari beberapa titik sambungan rangkaian paling padat di dunia di negara jiran Singapura.

 

Menurut YTL Power, ia adalah antara syarikat pertama yang mengguna pakai Nvidia GB200 NVL72 dan superkomputer itu akan disambungkan oleh platform rangkaian Nvidia Quantum InfiniBand.

 

Platform ini bertindak sebagai GPU tunggal dengan 1.4 exaflop prestasi AI dan 30TB memori pantas, dan direka untuk beban kerja yang paling intensif pengiraan.

 

Superkomputer AI YTL akan melepasi lebih daripada 300 exaflop pengiraan AI, menjadikannya salah satu superkomputer terpantas di dunia.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang berkata pihaknya bekerjasama dengan YTL AI Cloud untuk membawa platform pengkomputeran dipercepatkan bertaraf dunia ke Asia Tenggara, membantu memacu penyelidikan saintifik, inovasi dan pertumbuhan ekonomi di seluruh rantau ini.

 

"Superkomputer terbaharu ini menandakan satu daripada penggunaan pertama NvidiA GB200 Grace Blackwell Superchip pada DGX Cloud, menyokong pertumbuhan pengkomputeran dipercepatkan di rantau Asia Pasifik," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata syarikat itu berbangga dapat bekerjasama dengan Nvidia dan kerajaan Malaysia untuk membawa pengkomputeran awan AI yang berkuasa ke negara ini.

 

"Kami teruja untuk membawa kuasa pengkomputeran ini ke rantau Asia Pasifik, yang telah menjadi lokasi bagi teknologi awan yang paling pesat berkembang dan banyak pengguna AI yang paling inovatif di dunia," katanya. - DagangNews.com