Zurich Malaysia perkenal 'Global Green Fund', tingkatkan usaha kelestrian | DagangNews Skip to main content

Zurich Malaysia perkenal 'Global Green Fund', tingkatkan usaha kelestrian

Khoo Ai Lin
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Zurich Malaysia hari ini memperkenalkan dana berteraskan kemampanan pertamanya, sebagai sebahagian daripada matlamatnya untuk menjana nilai jangka panjang berterusan.

 

Pengenalan Zurich Global Green Fund menjadikan Zurich sebagai penanggung insurans pertama di Malaysia melancarkan pelaburan neutral karbon sebagai salah satu pilihan dalam portfolio dana berkaitan pelaburan untuk insurans hayat, yang mempunyai komponen perlindungan dan pelaburan.

 

Dana ini selaras dengan falsafah Zurich mengenai pelaburan mampan dan memberi tumpuan kepada syarikat rendah karbon dan peneraju teknologi hijau bagi mencapai purata kenaikan suhu global kepada 1.5°C. Zurich Global Green Fund melabur ke dalam syarikat memacu bidang teknologi hijau di seluruh dunia.

 

Zurich Malaysia seterusnya mengimbangi baki pelepasan karbon bagi menyediakan strategi pelaburan karbon neutral lebih sempurna. Zurich bekerjasama dengan projek pengimbangan pelepasan karbon yang mematuhi piawaian diiktiraf di peringkat antarabangsa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Life Insurance, Khoo Ai Lin berkata, sebagai penanggung insurans yang bertanggungjawab, adalah tidak mustahil membuat kebaikan dan ia satu keperluan. 

 

"Berbuat baik membolehkan kami menjana pulangan lebih baik untuk pelanggan kami dan dengan melakukan kebaikan, kami dapat memberi kesan positif kepada masyarakat. Sebagai sebahagian daripada ekosistem Zurich, kami memanfaatkan kemahiran dan keupayaan pengetahuan antarabangsa untuk meninggalkan impak positif. 

 

"Kami mahu membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk melabur dalam dana menyokong agenda kemampanan. Zurich Malaysia percaya kami boleh membina masa depan lebih cerah melalui impak positif peranan kami sebagai penanggung insurans, pelabur dan majikan untuk manfaat rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Zurich Global Green Fund boleh didapati melalui pelan-pelan berkaitan pelaburan (ILP) Zurich Malaysia di bawah siri ValueLife, termasuklah Zurich ValueLife Pluz yang baru dilancarkan.

 

Zurich ValueLife Pluz direka sebagai perancangan pembatalan hutang bagi membantu golongan dewasa muda Malaysia mencapai matlamat hidup mereka dengan keupayaannya untuk mengembangkan nilai dana melalui pelbagai dana pelaburan, termasuk Zurich Global Green Fund yang baharu.

 

ILP terkini ini menyediakan perlindungan dan ciri pelaburan serentak, sambil menawarkan fleksibiliti untuk membuat pengeluaran daripada Nilai Akaun Pelaburan tanpa penalti sekiranya berlaku kecemasan.

 

Pelan fleksibel ini mempunyai tempoh pembayaran premium singkat lima tahun untuk mendapatkan perlindungan 30 tahun. Tempoh komitmen yang singkat dan Jaminan Tanpa Luput membolehkan rakyat Malaysia merancang kehidupan untuk masa depan optimis. 

 

Dengan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 35 tahun membentuk 48.7% daripada jumlah pencarum, kekurangan simpanan sebanyak RM23,747 berbanding simpanan asas disyorkan, Zurich ValueLife Pluz boleh membantu golongan muda merancang perlindungan kewangan dan pelaburan pada masa sama. - DagangNews.com