KUALA LUMPUR 11 April - Zurich Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan Shamsul Azman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Berhad, berkuat kuasa serta-merta.
Beliau diberi mandat untuk mengembangkan perniagaan Takaful Am ZurichMalaysia dan membina momentum kukuh syarikat dalam industri.
Shamsul merupakan veteran industri dengan kelayakan dalam bidang perakaunan, beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam industri insurans dan takaful.
Pengalamannya selama 30 tahun merangkumi pelbagai tanggungjawab dan bahagian seperti saluran pengedaran, pembrokeran, taja jamin dan tuntutan.
Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, Shamsul merupakan seorang yang berpengalaman dan berwibawa dan bidang insurans serta takaful dan pihaknya percaya pelantikan itu akan memberi kelebihan kepada mereka.
"Kami yakin pengalaman dan kepakaran beliau yang luas memainkan peranan penting dalam memulakan gelombang inovasi seterusnya dan pertumbuhan yang mampan bagi perniagaan Takaful Am kami.
"Beliau berkongsi komitmen untuk mencipta masa depan yang lebih cerah bersama-sama demi pelanggan, kakitangan dan rakan kongsi. Kami menjangkakan beliau akan melonjakkan syarikat ke tahap lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zurich Malaysia adalah satu daripada dua penyedia insurans yang memegang insurans dan takaful iaitu Takaful Keluarga (Zurich Takaful), Takaful Am (Zurich General Takaful), Insurans Hayat (Zurich Life Insurance) dan Insurans Am (Zurich General Insurance). - DagangNews.com