Zurich, Senang.io bekerjasama dengan Bank Islam perkenal rumusan takaful digital dan inovatif melalui aplikasi Be U | DagangNews Skip to main content

Zurich, Senang.io bekerjasama dengan Bank Islam perkenal rumusan takaful digital dan inovatif melalui aplikasi Be U

(Dari kiri) Shamsul Azman, Noor Farilla Abdullah dan Sharian Raj ketika pelancaran produk sulungnya, Mikrotakaful untuk Pekerja Gig’.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan - Zurich Malaysia dan Senang.io menjalin kerjasama strategik dengan Bank Islam Malaysia Bhd untuk merevolusikan penyampaian rumusan takaful melalui aplikasi Be U by Bank Islam. 

 

Ketiga-tiga pihak menerusi kenyataan bersama berkata, kerjasama itu merupakan satu pencapaian penting dalam industri perbankan dan takaful menerusi penyediaan kemudahan dan fleksibiliti yang tiada bandingan kepada pelanggan.

 

Katanya, menerusi kerjasama itu, Zurich Malaysia, Senang.io dan Bank Islam berbesar hati memperkenalkan produk sulungnya, ‘Mikrotakaful untuk Pekerja Gig’. 

 

"Rumusan takaful inovatif ini memperkasakan pekerja gig dengan pilihan yang komprehensif, menawarkan perkhidmatan atas permintaan, perlindungan perubatan dan platform pengurusan tuntutan dalam aplikasi yang mesra pengguna. 

 

"Perkhidmatan takaful yang diperibadikan ini direka bagi memenuhi jadual kerja dinamik komuniti berkenaan serta menepati keperluan individu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful, Shamsul Azman berkata, pihaknya membawa bersama kepakaran serta komitmennya untuk menyampaikan produk takaful terunggul melalui kerjasama berkenaan. 

 

"Seiring dengan perkembangan pesat ekonomi gig, adalah penting untuk kami memenuhi keperluan perlindungan mereka. Bersama rakan perniagaan terlibat, kami akan mencipta masa hadapan yang lebih cerah dan terjamin," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Senang.io, Sharian Raj pula berkata, pihaknya sangat gembira untuk bekerjasama dengan Bank Islam dalam memperkenalkan rumusan takaful yang inovatif kepada pengguna Be U by Bank Islam. 

 

"Platform teknologi kami menyokong integrasi pelbagai produk takaful ke dalam satu aplikasi tunggal yang mesra pengguna, seterusnya menjadikan takaful lebih mudah diakses dan ringkas untuk manfaat pengguna," katanya.

 

Ketua Pegawai Digital Kumpulan Bank Islam, Noor Farilla Abdullah, menekankan kepentingan rangkuman kewangan dalam aplikasi digital Be U by Bank Islam. 

 

"Tawaran mikrotakaful baharu yang disokong OpenAPI ini mengintegrasikan perlindungan pekerjaan gig dalam aplikasi Be U by Bank Islam. Ini akan membolehkan pengguna mengakses ciri-ciri tambahan takaful serta memproses tuntutan secara langsung melalui platform berkenaan dengan mudah. 

 

"Penyediaan rumusan mikrotakaful dalam aplikasi itu berupaya memperkasakan ekonomi gig, menawarkan ketenangan fikiran dan perlindungan kewangan kepada segmen pekerja yang terdedah kepada risiko, sekali gus memudahkan akses ketika mengalami cabaran yang tidak diduga," katanya. - DagangNews.com