ASNB rai pemenang kempen Jom Auto Labur 2021 | DagangNews Skip to main content

ASNB rai pemenang kempen Jom Auto Labur 2021

Mohammad Hussin (tiga dari kiri) bersama para pemenang utama kempen Jom Auto Labur ASNB.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mei - Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) meraikan pemenang kempen Jom Auto Labur, yang bermula pada 1 September hingga 21 Disember 2021.

 

Kempen kali keempat itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM150,000 kepada 563 orang pemenang, termasuk hadiah utama sebuah motosikal Y15ZR, sebuah iPhone 13 Pro dan iPad Pro.

 

Tempat pertama dimenangi Mohd Ridzuan Uzdik dari Dungun, Terengganu yang membawa pulang motosikal tersebut, manakala Ibtisam Azwani Mat Ya'acob dan Mohd Khazami Bakri masing-masing ditempat kedua memenangi iPhone 13 Pro.

 

ASNB turut mengumumkan seramai 55 pemenang hadiah saguhati berupa unit-unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernilai RM500 setiap seorang, 300 pemenang bulanan (75 pemenang setiap bulan) yang memenangi unit-unit ASB bernilai RM200 dan 200 pemenang hadiah bonus (50 pemenang setiap bulan) berupa unit-unit ASB bernilai RM100 setiap seorang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, beliau berpuas hati melihat kesungguhan para pelabur untuk terus melabur meskipun ramai yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19. 

 

"Kami amat menghargai keyakinan mereka terhadap ASNB. 

 

"Sehingga April 2022, potongan bulanan Auto Labur adalah berjumlah RM157.84 juta sejak diperkenalkan pada 2019. Kempen Jom Auto Labur kali ketiga ini telah mencatatkan sebanyak 21,546 transaksi dengan potongan berjumlah RM4.29 juta," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, pemenang hadiah utama, Mohd Ridzuan berpendapat, kempen Auto Labur adalah sesuatu yang bagus terutamanya pada zaman pandemik ini dan memudahkan urusan pelaburan tanpa memerlukan dia untuk keluar serta menjimatkan masa. 

 

"Saya dan rakan-rakan di tempat bekerja turut sama melabur dalam pelaburan yang ditawarkan oleh ASNB. Saya memilih ASNB kerana ia telah terbukti selamat terutamanya dalam menawarkan pulangan yang baik," katanya.

 

Kemudahan Auto Labur di platform myASNB memanfaatkan perkhidmatan Direct Debit oleh PayNet untuk memudahkan pelabur membuat pelaburan berkala secara automatik untuk akaun unit amanah mereka sendiri, akaun minor (Akaun Bijak/Remaja) dan pihak ketiga yang layak. 

 

Diperkenalkan buat pertama kali pada 2019, Auto Labur membantu para pelabur melabur secara konsisten mengikut kemampuan kewangan masing-masing melalui potongan terus daripada akaun bank mereka tanpa sebarang caj. 

 

Berikutan sambutan yang menggalakkan, ASNB meneruskan Kempen Jom Auto Labur bagi tahun 2022 yang telah pun bermula pada 1 April lalu dan akan berlangsung sehinga 30 Jun depan dengan menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai lebih RM200,000.

 

Maklumat lanjut berkenaan Kempen Jom Auto Labur, boleh didapati di www.myasnb.com.my dan di laman sosial media rasmi ASNB. - DagangNews.com