Astro AWANI terus unggul sebagai jenama berita paling dipercayai - Reuters Institute | DagangNews Skip to main content

Astro AWANI terus unggul sebagai jenama berita paling dipercayai - Reuters Institute

KUALA LUMPUR 17 Jun - Astro AWANI Network Sdn Bhd terus mengekalkan reputasinya sebagai jenama berita paling dipercayai di negara ini.

 

Berdasarkan Laporan Berita Digital Institut Reuters 2022 dan University Oxford, Astro AWANI menduduki tangga pertama dengan 64%, diikuti The Star, Malaysiakini, Sinar Harian, dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

 

Bagi capaian luar talian dan dalam talian secara mingguan, Astro AWANI turut unggul di tangga kedua, masing-masing kategori TV, radio, dan media cetak; dan juga dalam talian (online).

 

“Akhbar nasional dan vernakular sering kali dikaitkan dengan parti politik daripada segi pemilikan dan tahap kecenderungan editorial.

 

"Bagaimanapun digitalisasi telah mengakibatkan perubahan ketara terhadap medium tersebut.

 

“Akhbar yang dahulu gah sebagai sumber berita utama rakyat kini menduduki tangga terbawah dalam kalangan jenama berita yang dipercayai.

 

"Astro AWANI dan Malaysiakini kekal pada dua tangga teratas kerana mereka neutral, tetapi masih mengekalkan pemberitaan kritikal terhadap pentadbiran dahulu dan kini,” menurut laporan itu lagi.

 

 

awani

 

 

 

 

awani

 

 

 

Dalam pada itu, Reuters Institute berkata, portal berita dalam talian dan media sosial terus menjadi sumber berita utama di negara ini.

 

Media cetak terus mencatatkan trend penurunan, daripada 45% pada tahun 2017 kepada 17% untuk tahun 2022.

 

Trend akses berita menggunakan telefon pintar juga agak mengejutkan kerana ia turut menunjukkan penurunan sebanyak tujuh mata peratusan, iaitu kepada 78% tahun ini, lapor Astro Awani.

 

Sementara itu, Reuters Institute berkata, Facebook dan Whatsapp terus menjadi medium utama penyebaran berita dalam kategori sosial, mesej dan e-mel, diikuti Youtube, Instagram, Twitter, dan Telegram.

 

Portal DagangNews.com merupakan penyedia kandungan berita-berita korporat, ekonomi dan perniagaan kepada segmen Niaga Awani sejak Disember 2021. - DagangNews.com