AWS sedia melabur, jadikan Malaysia sebagai pusat data serantau Asia Tenggara - Mohamed Azmin | DagangNews Skip to main content

AWS sedia melabur, jadikan Malaysia sebagai pusat data serantau Asia Tenggara - Mohamed Azmin

SEATTLE 18 Mei - Amazon Web Services Inc (AWS) komited untuk merealisasikan potensi Malaysia sebagai hab pusat data di rantau Asia Tenggara dan dijangka melabur dalam jumlah yang besar untuk membangunkan pusat data di negara ini pada tahun ini.

 

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan telah memberikan kelulusan kepada AWS untuk melabur di Malaysia, namun terdapat beberapa perkara perlu diperhalusi syarikat itu bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), MITI dan Kementerian Kewangan.

 

“Oleh kerana ini merupakan satu bidang teknologi baharu yang berkualiti tinggi, kerajaan bersedia untuk meneliti permintaan AWS untuk menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi ini ke Malaysia.

 

“Kami sedang merundingkan beberapa insentif baharu yang lebih inovatif dan menarik minat AWS untuk membina lebih banyak pusat data di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

 

AWS merupakan salah satu syarikat gergasi perintis yang menyediakan perkhidmatan dalam pengkomputeran awan.

 

Mohamed Azmin berkata, perbincangan itu menghasilkan persefahaman tentang permintaan daripada AWS berhubung beberapa insentif baharu yang sedang dipertimbangkan oleh MITI dan Kementerian Kewangan.

 

jemin

 

“Kami yakin proses perundingan ini akan dapat dimuktamatkan dalam masa yang terdekat kerana bagi Malaysia, pelaburan ini amat penting untuk mempercepatkan proses transformasi dan adaptasi digital di Malaysia,” katanya.

 

jemin

 

Sebelum itu, Azmin juga telah bertemu dengan wakil Microsoft Corporation, di mana syarikat teknologi gergasi tersebut komited untuk melatih satu juta tenaga kerja tempatan melalui inisiatif Bersama Malaysia Microsoft yang dilancarkan pada April 2021.

 

“Saya dimaklumkan bahawa hampir 500,000 tenaga pekerja tempatan telah dilatih melalui program tersebut mulai tahun ini, dan saya yakin sasaran untuk melatih satu juta tenaga pekerja tempatan akan dapat dicapai pada 2023,” katanya.

 

jemin

 

Menurutnya, Microsoft dan AWS juga bersedia memberikan input kepada kerajaan dalam usaha untuk mempertingkatkan daya saing negara dalam ekonomi digital.

 

“Kehadiran syarikat-syarikat tersebut pastinya akan dapat membantu mempercepatkan transformasi dan adapsi teknologi digital yang dapat membantu menjana pertumbuhan ekonomi yang lestari dan mampan di negara ini.

 

jemin

 

“Pelaburan seperti ini juga merupakan satu pelaburan yang selari dengan aspirasi Dasar MyDigital yang diperkenalkan untuk menjamin akses dalam kalangan rakyat

 

Malaysia, khususnya pihak industri termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana  (PKS) dalam teknologi digital,” katanya. - DagangNews.com