Axiata berusaha tepati tarikh akhir pemilikan kepentingan dalam DNB 30 Jun ini | DagangNews Skip to main content

Axiata berusaha tepati tarikh akhir pemilikan kepentingan dalam DNB 30 Jun ini

Syarikat telekomunikasi diberi tempoh sehingga akhir Jun ini untuk memuktamadkan penyertaan mereka.

KUALA LUMPUR 26 Mei - Celcom Axiata Bhd akan berusaha sedaya upaya menepati tarikh akhir tawaran pemilikan kepentingan dalam Digital Nasional Bhd (DNB) seperti yang ditetapkan pada 30 Jun ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Bhd, Datuk Izzaddin Idris berkata, Celcom sedang dalam proses menilai cadangan itu.

 

"Kami berusaha sedaya upaya untuk mematuhi tarikh akhir dan syarat yang telah dinyatakan oleh DNB.

 

"Menteri telah mengesahkan tarikh akhir 30 Jun. Kami akan berusaha menepatinya," katanya pada sidang media kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Axiata di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terkini rundingan mengenai memiliki kepentingan dalam DNB, Berita Harian melaporkan.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, syarikat telekomunikasi masih berada dalam proses rundingan harga atau nilai ekuiti ditawarkan dalam DNB bagi pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini.

 

Beliau berkata, syarikat terbabit diberi tempoh sehingga akhir Jun ini untuk memuktamadkan penyertaan mereka.


 

 Axiata Group Bhd, Datuk Izzaddin Idris
                                                              Datuk Izzaddin Idris

 


Sementara itu, Axiata juga telah melancarkan secara rasmi Pelan Hala Tuju Sifar Karbon Bersih 2050.

 

Syarikat telekomunikasi itu menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

 

Dalam pada itu, pada EGM, Axiata juga mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya untuk mengambil alih 66.03 peratus ekuiti dalam PT Link Net Tbk.

 

Kelulusan pengambilalihan itu membolehkan Axiata terus mengembangkan lagi kehadirannya di Indonesia.

 

Axiata mencatat kerugian bersih sebanyak RM42.97 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berikutan kerugian pertukaran asing berjumlah RM476.9 juta, terutama disebabkan operasi mudah alihnya di Sri Lanka.

 

Kumpulan telekomunikasi itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM75.56 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Axiata berkata Dialog Axiata PLC di Sri Lanka mengalami kerugian tukaran berjumlah RM387.4 juta terutama susulan pendedahan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) daripada pinjaman dan liabiliti dalam denominasi dolar AS.

 

"Sri Lanka diselubungi krisis ekonomi dan politik disebabkan impak COVID-19, potongan cukai yang signifikan dan pembayaran balik hutang negara yang besar secara kolektif menghabiskan rizab asing yang terhad di negara itu.

 

"Akibatnya rupee Sri Lanka merosot 46 peratus berbanding dolar AS pada suku pertama 2022," katanya. - DagangNews.com