Axiata, Touch Group meterai MoU teroka peluang kukuhkan landskap infrastruktur telekomunikasi negara | DagangNews Skip to main content

Axiata, Touch Group meterai MoU teroka peluang kukuhkan landskap infrastruktur telekomunikasi negara

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Axiata Group Bhd (Axiata) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Touch Group Holdings Sdn Bhd untuk bersama-sama meneroka peluang dalam memperkukuhkan landskap infrastruktur telekomunikasi negara, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat untuk pendigitalan. 

 

Axiata berkata, MoU itu bagi meneroka peluang untuk bekerjasama dalam industri infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia.

 

"Kedua-dua syarikat berminat untuk memanfaatkan kekuatan satu sama lain bagi meningkatkan ketersambungan nasional dan memodenisasikan infrastruktur ICT yang akan menjadi kritikal dalam mengekalkan ekosistem yang diperlukan untuk memutarkankan negara ke arah ekonomi digital," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

MoU itu ditandatangani selepas perjanjian pemerolehan menara di antara perniagaan infrastruktur Axiata, edotco Group Sdn Bhd dan Touch Group, yang akan menyaksikan edotco memperoleh 100 peratus daripada syarikat subsidiarinya, Touch Mindscape Sdn Bhd dengan harga RM1.7 bilion dan kira-kira 1,000 menara tambahan yang disewakan. 

 

"Adalah menjadi hasrat kedua-dua pihak untuk MoU ini berkuat kuasa bagi tempoh satu tahun," tambahnya.

 

Sebagai salah satu kumpulan telekomunikasi terkemuka di Asia dalam usaha mencapai visinya untuk menjadi Juara Digital Generasi Seterusnya menjelang 2024, Axiata telah mengubah dirinya daripada entiti induk dengan portfolio aset mudah alih  kepada perniagaan yang didorong oleh Strategi Tiga Terasyang memfokuskan pada TelKo Digital, Perniagaan Digital dan Infrastruktur. 

 

Di Asean dan Asia Selatan, Axiata mempunyai kepentingan mengawal dalam peneraju pasaran pengendali mudah alih dan tetap di rantau ini termasuk Celcom di Malaysia, XL di Indonesia, Dialog di Sri Lanka, Robi di Bangladesh, Smart di Kemboja dan Ncell di Nepal. 

 

Syarikat telekomunikasi itu sedang aktif menerajui usaha untuk mengubah operasi tertumpu mudah alihnya kepada syarikat tertumpu digital. 

 

Axiata Digital, cabang perkhidmatan digital Axiata memberi tumpuan kepada dua perniagaan digital iaitu Perkhidmatan Kewangan Digital dan Analitik Digital.

 

"Sebagai pelabur yang komited dan jangka panjang serta selaras dengan matlamat kemampanan kami, Kumpulan secara aktif menyokong dan memacu pembangunan bakat muda; tindak balas dan pemulihan bencana; serta inisiatif hijau," katanya. -DagangNews.com