Axiata, Xl Axiata selesai pengambilalihan 66.03% dalam Link Net bernilai RM2.63 bilion | DagangNews Skip to main content

Axiata, Xl Axiata selesai pengambilalihan 66.03% dalam Link Net bernilai RM2.63 bilion

KUALA LUMPUR 23 Jun -  Syarikat telekomunikasi terkemuka, Axiata Group Bhd (Axiata) dan PT XL Axiata Tbk (XL Axiata) telah menyelesaikan pengambilalihan gabungan sebanyak 66.03% kepentingan ekuiti dalam PT Link Net Tbk (Link Net) untuk kira-kira RM2.63 bilion.

 

Selepas selesai pengambilalihan itu, anak syarikat milik penuh tidak langsung Axiata, Axiata Investments (Indonesia) Sdn Bhd dan XL Axiata akan memegang 46.03% dan 20% kepentingan masing-masing daripada gabungan 66.03% kepentingan ekuiti dalam Link Net yang sebelum ini dipegang oleh Asia Link Dewa Pte Ltd dan PT First Media Tbk.

 

Jumlah kepentingan ekuiti efektif Axiata dalam Link Net yang dipegang melalui Axiata Investments dan XL Axiata ialah 58.33% selepas pengambilalihan itu selesai.

 

Dalam satu kenyataan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama Axiata, Dr Hans Wijayasuriya dan Vivek Sood berkata, penyelesaian pengambilalihan
Link Net itu mencatatkan peristiwa penting dalam evolusi operasi Axiata di rantau ini.

 

Pengambilalihan itu mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai juara digital serantau dalam penyampaian perkhidmatan telekomunikasi selaras dengan etosnya ‘Advancing Asia’. 

 

“Pasukan yang berpengalaman dan berjaya di Link Net akan mempercepatkan peluang pertumbuhan syarikat dalam kawasan sedia ada serta yang kurang mendapat liputan.

 

“Meningkatkan momentum penyertaan kami dalam ekonomi digital Indonesia yang pesat membangun adalah cadangan menarik yang kami kongsi dengan pasukan Link Net,” katanya.

 

Link Net ialah antara penyedia utama jalur lebar berkelajuan tinggi dan TV kabel di Indonesia, menjangkau 2.9 juta rumah di 23 bandar, masing-masing menyediakan
kira-kira 855,000 jalur lebar dan kira-kira 837,000 pelanggan TV kabel.

 

Axiata berkata Axiata Investments kini akan bertanggungjawab untuk melaksanakan tawaran tender mandatori (MTO) untuk memperoleh baki 33.97% kepentingan ekuiti dalam Link Net menurut keperluan pengawal selia di Indonesia.

 

MTO yang dicadangkan itu dijangka siap pada suku ketiga 2022, katanya lagi. - DagangNews.com