Azizan Osman dilantik Pengarah Bukan Bebas MPay berkuat kuasa hari ini | DagangNews Skip to main content

Azizan Osman dilantik Pengarah Bukan Bebas MPay berkuat kuasa hari ini

Datuk Wira Dr Azizan Osman
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Sept - Datuk Wira Dr Azizan Osman dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas Managepay Systems Bhd. (MPay) berkuat kuasa hari ini, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Pada 18 Jun 2021, mentor usahawan itu muncul antara pemegang saham utama (MPay) selepas memperoleh 5.762% kepentingan.

 

Beliau kemudiannya menambah nilai pegangan sahamnya dalam MPay yang menyaksikan peningkatan pegangannya kepada 10.58% kepentingan.

 

Ia membabitkan penambahan pegangan tidak langsung 45 juta unit saham bersamaan 5.35% kepentingan menerusi syarikat RichWorks International Capital Holdings Sdn. Bhd. (RiCH).

 

Azizan yang berkelulusan dari Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), United Kingdom sebelum ini merupakan Ketua Organisasi dan Pengarah Urusan, Channel Direct Asia Sdn. Bhd. mulai 2001 hingga 2008.

 

Kemudiannya mulai 2008 hingga kini, beliau merupakan pengasas dan pengerusi lembaga pengarah Richworks Group of Companies.

 

Pada Ogos lalu, beliau berjaya lulus ijazah kedoktoran (PhD) tempatan pertamanya selepas sesi pembentangan viva voce dengan pembetulan minor bersama institut pengajian tinggi tempatan, Asia e University (AeU). 

 

Sejak 2019, Azizan menerusi Richworks berjaya membimbing 326 usahawan mencapai jualan RM1 juta yang pertama dan pada tahun lalu sahaja seramai 72 usahawan jutawan berjaya dilahirkan.

 

Dalam penutupan petang ini, harga saham MPay kekal tidak berubah pada 10 sen sesaham. - DagangNews.com