Azlan mahu meletakkan Bernama Radio eksklusif dalam kelas tersendiri | DagangNews Skip to main content

Azlan mahu meletakkan Bernama Radio eksklusif dalam kelas tersendiri

Penerbit dan juruhebah Berita Bernama Radio fokus dalam menyalurkan berita terkini kepada pendengar.
Oleh FAIZAL ZAKARIA

BERNAMA Radio, atau dahulunya dikenali sebagai Radio24 pada peringkat awal penubuhannya pada 3 September 2007, bukanlah ditubuhkan untuk bersaing dengan stesen radio komersial tempatan.

 

Ini kerana penubuhannya adalah berlandaskan kepada konsep stesen radio berita yang memberi fokus kepada penyediaan kandungan berupa berita semasa dan penyampaian maklumat sepenuhnya.

 

Walaupun beroperasi sebagai sebuah stesen radio berita, namun peranannya sangat besar selain turut mempunyai kelompok pengikut dan pendengar yang tersendiri.

 

Bukan sekadar itu, Bernama Radio juga pernah beberapa kali memenangi anugerah sepanjang 15 tahun beroperasi,  antaranya Anugerah Seri Angkasa 2010 menyaksikan Bernama Radio (ketika itu dikenali Radio24) dicalonkan dalam 10 kategori dengan 14 pencalonan.

 

Bernama Radio memenangi tiga anugerah iaitu Penyampai Berita Radio Terbaik , Bicarawara Radio Terbaik dan Pengimbang Muzik Radio Terbaik.

 

Pada tahun 2020 pula katanya, menerusi penilaian yang dilakukan sebuah agensi swasta terhadap lebih 25 stesen radio tempatan, Bernama Radio berada pada kedudukan ke-10 yang mempunyai jumlah pendengar paling ramai untuk satu-satu program yang disiarkan.

 

Di sebalik kejayaan tersebut, sebenarnya terdapat seorang insan yang menjadi tulang belakang dan memainkan peranan sangat penting dalam melakar perjalanan Bernama Radio sejak dahulu sehingga kini iaitu Ketua Bernama Radio, Azlan Idris.

 

 

azlan idris
                                    Azlan Idris

 

 

Ketika ditemui dalam satu sesi temu bual eksklusif baru-baru ini, Azlan berkata, kejayaan Bernama Radio banyak bergantung kepada perancangan teliti yang telah dirancang oleh pihak pengurusan, selain pelaksanaan yang betul dan sempurna di peringkat petugas.

 

“Saya mula menyertai Bernama Radio sejak ditubuhkan pada tahun 2007 dan sepanjang 15 tahun beroperasi, saya telah menyaksikan jatuh bangun stesen radio ini.

 

Dengan pengalaman sedia ada, saya harus melakar strategi bagaimana stesen radio ini beroperasi, khususnya mengenai tekanan yang terpaksa dihadapi di saat industri penyiaran negara berhadapan dengan ledakan teknologi digital yang sangat pantas berkembang,” katanya.

 

Mengulas mengenai penglibatannya bersama Bernama Radio, Azlan berkata, dia memulakan kerjayanya di stesen radio itu sebagai seorang penyampai radio atau deejay sambilan selama dua tahun sebelum diberi tugas menjawat jawatan Ketua Program dua tahun kemudian.

 

Sekitar tahun 2011 katanya, dia diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Operasi dan perlu melaporkan perkembangan stesen radio itu kepada Lembaga Pengarah Bernama Radio.


 

bernama radio

 


“Bermula daripada hanya satu saluran frekuensi pada tahun 2007 iaitu  93.9 MHz hasil kerjasama dengan RTM, Bernama Radio terus cekal menongkah arus dan kini sudah bersiaran menerusi empat frekuensi.

 

“Ia termasuklah 107.5 MHz  bagi kawasan Johor, 100.9 MHz di Kuching, Sarawak dan 107.9 MHz di Kota Kinabalu, Sabah.

 

“Malah, di zaman digital pada masa kini, kami juga telah mengembangkan saluran dengan bersiaran menerusi Facobook Live selain turut disiarkan menerusi platform lain termasuk Twitter,” ujarnya.

 

Menurut Azlan lagi, sebagai individu yang diberi tanggungjawab mengetuai organisasi tersebut, beliau harus mempunyai kredibiliti untuk memastikan Bernama Radio mampu melangkah lebih jauh agar tidak ketinggalan.

 

Justeru katanya, beliau mempunyai strategi tersendiri yang perlu dilaksanakan untuk terus kekal menjadi stesen radio pilihan pendengar walaupun terus mengekalkan konsep sebagai stesen radio berita.

 

 

bernama radio

 

bernama radio

 

 

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai persoalan tentang cabaran besar yang dihadapi industri penyiaran radio khususnya Bernama Radio, Azlan berkata ia berkait rapat dengan had kandungan (content limitation).

 

Mereka yang membesar pada zaman 1970-an, sehinggalah 1990-an,  mengharapkan saluran radio dan televisyen yang ada pada ketika itu sebagai penyampai berita dan maklumat.

 

“Tetapi yang lahir dan membesar selepas tahun 2000, platform siaran telah berubah mengikut peredaran teknologi.

 

“Justeru, had kandungan yang disediakan oleh stesen radio telah menyebabkan mereka beralih kepada saluran digital khususnya media sosial yang mampu menyediakan kandungan tanpa sebarang had.

 

“Sebagai ketua di Bernama Radio, saya harus memikirkan kaedah sesuai bagaimana untuk meletakkan organisasi ini di kedudukan yang betul dan berada pada kelasnya yang tersendiri, sekali gus mampu menarik minat pendengar untuk setia bersama kami,”  katanya.

 

 

bernama radio

 

bernama radio

 

 

Ujarnya, antara pendekatan yang dilakukan adalah dengan tidak lagi menjadikan aktiviti mendengar radio itu sebagai sebuah janji temu antara penyampai dengan pendengar seperti mana dilakukan secara konvensional sebelum ini.

 

Sebaliknya kata, aktiviti mendengar radio itu perlu berubah kepada konsep di mana menerusi platform digital, pendengar boleh mendengar program kegemaran mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja. – DagangNews.com