Skip to main content

Babydash sasar RM1 juta menerusi Pusingan kedua Ekuiti Crowfunding Pra-LIVE

Lavinie Thiruchelvam (depan, tiga dari kanan) bersama warga kerja Babydash.

 

KUALA LUMPUR 19 Mei - Babydash, perniagaan barangan bayi digital bersepadu Malaysia hari ini mengumumkan bahawa ia akan mengumpulkan dana tambahan melalui pitchIN, platform pendanaan ekuiti ramai (ECF) di Malaysia untuk mengumpulkan jumlah sasaran sebanyak AS$242,000 (RM1 juta). 

 

Menyasarkan pelabur runcit dalam panggilan terakhir dalam peringkat pra-live ini, Babydash berusaha untuk menyasarkan pulangan yang sangat baik untuk semua pemegang sahamnya dengan mencapai setiap satu matlamatnya.

 

Berdasarkan strategi perniagaan sedia ada, produk dan sasaran pelanggannya, Babydash menggariskan kempen pemasaran agresif untuk meningkatkan penguasaan mereka di rantau ASEAN dengan sasaran untuk mencapai peningkatan pendapatan sebanyak dua kali ganda di dalam jangka masa 12 hingga 18 bulan selepas ini.

 

Dalam pendanaan ramai pusingan 1 pada tahun 2017, Babydash telah berjaya menarik 131 pelabur dalam kempen dimana sahamnya dilanggan sepenuhnya bernilai AS$484,000 (RM2 juta) dan sejak itu menyaksikan saham pemegang saham ECF meningkat tiga kali ganda.

 

"Sejak usaha ECF pertama kami pada pertengahan 2017, pendapatan kami meningkat tiga kali ganda dengan kadar pertumbuhan purata 46% dari tahun ke tahun.

 

"Selama beberapa bulan terakhir, kami telah mengembangkan teknologi baru kami termasuk merombak semula laman web kami dan meningkatkan kemampuan analisis data kami.

 

"Suntikan modal dari kempen ini akan membolehkan kami mendorong Babydash ke fasa seterusnya, mengukuhkan kedudukan kami di Malaysia dan pada masa sama, mengembangkan pasaran Singapura kami di rantau ini,” kata Lavinie Thiruchelvam, CEO & Pengasas Babydash.

 

Pusingan ECF kedua berperanan sebagai penyambung dan peluang terakhir bagi pelabur runcit yang lebih kecil untuk turut serta dan menjadi sebahagian dari Babydash kerana pusingan ECF masa depan hanya akan ditujukan kepada pelabur institusi sahaja.

 

Dengan pelaburan hanya RM1,200/blok, para pelabur runcit dan sederhana sudah boleh menjadi sebahagian daripada syarikat kami yang sedang berkembang pesat.

 

Ditambah dengan prinsip untuk menjadikan pelanggan sebagai aspek paling utama (customer first) serta memberikan perhatian terhadap dalam semua aspek khidmat pelanggan, Babydash terus kekal aktif di atas talian melalui kehadirannya di platform media sosial dan pesat mengembangkan asas komuniti ibubapanya yang kini berjumlah seramai 180,000 orang.

 

Melalui usahasama langsung dengan jenama lain dan pemilikan rantaian bekalan yang menjamin penghantaran dalam 24-48 jam, Babydash telah membina kadar pulangan pelanggan bulanan yang sihat yang telah memainkan peranan penting dalam mendorong pendapatan untuk perniagaannya, menjadi batu loncatan untuk melebarkan sayapnya ke Singapura pada akhir 2019.

 

Babydash pernah menerima pelbagai anugerah, antaranya Best Customer Engagement oleh Cradle Fund Sdn Bhd melalui program Coach & Grow (CGP) 2015/2016 Cohort, terpilih sebagai kedai dalam talian bayi di Malaysia Nombor 1 oleh Tallypress pada bulan November 2017 serta dianugerahkan hadiah ke-3 oleh Digital Malaysia (Inisiatif Ekonomi Digital Nasional) dalam kategori 25 Perusahaan Sederhana Kecil (SME) Terbaik. - DagangNews.com