Skip to main content

Bagaimana cara kenal pasti wartawan bonafide dengan yang palsu?

Berikut adalah analisis sempena Hari Wartawan Nasional 2022 yang disambut pada 29 Mei setiap tahun.

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

PADA 29 Mei 2022, sidang editorial DagangNews.com menyertai rakan-rakan industri berhimpun di Melaka untuk meraikan sambutan Hari Wartawan Nasional.

 

Dari hari pertama detik penganjuran oleh sekretariat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), DagangNews.com telah turut serta menghadiri mesyuarat, baik secara fizikal mahupun video.

 

Bernama sebagai tuan rumah, melaksanakan tugas cemerlang kerana bukan tugas mudah mengumpul media-media bonafide arus perdana sehinggalah media bertaraf start-up dari seluruh negara.

 

Kejayaan Bernama menganjurkan Hawana 2022 pasti menjadi penanda aras penganjuran Hawana di masa-masa mendatang.

 

Portal setahun jagung ini merupakan satu daripada penandatangan Deklarasi Melaka yang dibaca dengan penuh bersemangat oleh Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman mewakili semua media di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

merrepak

 

Satu lagi tugasan berat menanti ialah penubuhan Persatuan Wartawan Nasional yang akan berperanan sebagai badan induk kepada semua wartawan bonafide.

 

Berat kerana spesies wartawan ini amat terkenal sebagai tidak suka berpersatuan (berkesatuan mungkin lebih tinggi minat). Tidak sangat didorong oleh ideologi seperti dulu-dulu tetapi lebih kepada soal masa.

 

Bagi media arus perdana yang besar, boleh saja melantik sesiapa menjadi wakil tetapi portal saiz platun ini, sibuk berpersatuan bermakna kehilangan satu tenaga pada hari tersebut.

 

Bekerja di portal seperti DagangNews.com ini tidak sama seperti zaman kami di media arus perdana dulu-dulu.

 

Tenaga yang ada tidak ramai tetapi dengan kelebihan pengalaman dan kemahiran yang dituntut diperbaiki setiap hari, membolehkan seorang wartawan portal menghasilkan antara 10 hingga 12 berita sehari, bermula 9 pagi hingga 6 petang.

 

Ini jugalah sebab semua wartawan DagangNews.com dikerah ke Melaka supaya dapat merasai satu hari dalam setahun, hari sebenar raya untuk spesies wartawan di negara ini. Bukan minta disanjung tetapi memadai dapat berjumpa sahabat-handai baru dan lama.

 

hawana

 

Ketepatan Media

Sebelum ke Melaka, saya sempat menghadiri sesi pertemuan dengan beberapa tokoh korporat. Seorang daripadanya ialah Tan Sri Dr Lim Wee Chai, pengasas dan pengerusi eksekutif Top Glove, syarikat pembuat sarung tangan getah terbesar di dunia.

 

Antara subjek yang Tan Sri Wee Chai sentuh dalam ucapan ringkas beliau adalah soal “ketepatan pemberitaan”. Top Glove mendapat publisiti negatif terutama dalam konteks sekatan Amerika Syarikat terhadap produk syarikat tersebut, selain penutupan kilang semasa PKP.

 

Saya menggariskan tiga sumber yang kami peroleh berita mengenai Top Glove iaitu pertama kenyataan media dari syarikat itu sendiri; pemakluman Top Glove di Bursa Malaysia (yang boleh diakses oleh umum) dan agensi berita asing seperti Bloomberg, Reuters dan sebagainya.

 

Semua di dalam bilik pada hari tersebut bersetuju bahawa dua sumber awal itu tidak ada masalah. Tetapi agensi berita asing akan 'mencubit' bila melaporkan berita negatif Top Glove mengenai operasinya di luar negara.

 

Dalam konteks ini, saya sarankan kepada Tan Sri Wee Chai supaya menyediakan saluran khusus atau pro-aktif daripada Top Glove untuk memberi maklum balas segera bila sesuatu situasi timbul.

 

“Kami pengamal media bonafide tidak takut sangat kepada Akta Rahsia Rasmi sebab amat jarang kerajaan menggunakan akta tersebut.

 

“Yang kami takut ialah kena saman..., jadi yakinlah bahawa kami wartawan bonafide menjaga standard penulisan sebaik mungkin terutama hal ehwal korporat,” kata saya kepada Tan Sri Wee Chai dan pengurusan kanan syarikat Top Glove.

 

Tan Sri Dr Lim Wee Chai
Tan Sri Dr Lim Wee Chai

 

Apa berlaku bila korporat keberatan berhubung dengan media?

Tidak ramai tokoh korporat seperti Tan Sri Wee Chai yang memilih untuk berkenalan dengan media. Mereka lebih selesa mengutus kenyataan media sahaja.

 

Saya terbaca wawancara Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Serba Dinamik Holdings Berhad, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, baru-baru ini yang mengakui keberatan bercakap dengan media.

 

Pertamanya, disebabkan isu Serba Dinamik dengan mahkamah, beliau terhalang untuk `bercerita banyak’. Tetapi oleh kerana itu juga, hanya satu sudut yang terpampang di khalayak, iaitu cerita negatif.

 

Kedua, beliau meragui "sesetengah editor akan mencetak apa yang saya perlu katakan dengan tepat".

 

Secara peribadi saya pernah berbual dengan Datuk Mohd Abdul Karim dan saya dapati beliau adalah seorang yang bercakap lembut, tajam pengamatan dan tidak berkelakuan `kayangan’.

 

Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah
Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah

 

Adalah menyedihkan bila seorang ahli perniagaan seperti beliau, yang dilanda masalah tidak dapat menceritakan atau mempertahankan diri di dalam media di negara ini.

 

Anda yang mengikuti rapat isu Serba Dinamik tahu syarikat tersebut telah menyaman The Edge Markets. Inilah yang berlaku bila komunikasi terputus antara media dengan syarikat yang menjadi bahan berita.

 

Wartawan bonafide

Mungkin anda perasan saya menekankan istilah `bonafide’ bila membicarakan hal-ehwal media dalam Merrepak ini. Satu daripada masalah besar yang dihadapi pada zaman Facebook, Instagram dan TikTok ini ialah penyebaran berita palsu.

 

Siapa sebarkan? Wartawan palsu. Siapa mereka? Entah.

 

Di Malaysia, secara umumnya sesiapa sahaja boleh menggelar diri mereka `wartawan’ kerana tidak ada peraturan atau undang-undang khusus atau ujian kelayakan seperti peguam, jurutera dan akauntan bertauliah.

 

Bagi media bonafide seperti DagangNews.com, kami perlu memohon pas akreditasi daripada Jabatan Penerangan. Tetapi ia hanya laku jika hendak membuat liputan berita kerajaan. Hendak masuk Parlimen, tidak ada pas Jabatan Penerangan, ahli media tidak dibenarkan masuk.

 

Tetapi jika portal tidak memberat kepada berita kerajaan, tidak perlu memohon pas tersebut.

 

MPI

 

Satu lagi untuk memperoleh pengiktirafan ialah dengan mendaftar menjadi ahli Institut Akhbar Malaysia (Malaysian Press Institute). Tetapi sama seperti pas Jabatan Penerangan, tiada undang-undang khusus untuk mewajibkan menjadi ahli.

 

Atas sebab inilah idea penubuhan Persatuan Wartawan Nasional digerakkan, supaya ada suatu bentuk pentauliahan atau akreditasi wartawan bonafide, tak kisahlah jika entiti media itu fokus pemberitaannya memuja pembangkang, mengeji kerajaan sebab zaman ini, orang semakin tahu mana intan, mana batu kerikil.

 

Perkembangan ini disedari bukan sahaja oleh pengamal media bonafide tetapi juga kerajaan. Masalahnya bagaimana hendak menentu kesahihan seseorang wartawan itu daripada segi undang-undang?

 

Mengapa wujud wartawan palsu? Ini berkait rapat dengan arena politik yang menyaksikan penyebaran maklumat palsu untuk mengelirukan parti lawan atau orang awam.

 

Malangnya, tahap berita palsu telah melangkaui pemberitaan politik dan merebak ke apa sahaja yang boleh dimanipulasi dan ditularkan.

 

ICFJ

 

Dan masalah wartawan/ berita palsu tidak eksklusif kepada Malaysia semata-mata. Seantero dunia berdepan masalah ini.

 

Isu serupa dibincangkan oleh pertubuhan-pertubuhan wartawan dan media antarabangsa. Apa yang mereka lakukan boleh dijadikan panduan kerana mengekang wartawan/berita palsu bukan kerja mudah.

 

Tidak mudah sama sekali...

 

Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com dengan 30 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu yang pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 dan menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Bukan Kerana Nama oleh Ramli Sarip & A Romzi berulang-ulang kali.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MERREPAK