Bagaimana kenal pasti Idea Perniagaan boleh diteruskan Atau Tidak? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Idea Digital - 13 July 2021

Bagaimana kenal pasti Idea Perniagaan boleh diteruskan Atau Tidak?

 


Kalau bercakap bab strategi, saya gemar menggunakan contoh dari filem-filem yang pernah saya tonton sebelum ini bagi memudahkan pemahaman. Selain membaca buku-buku bukan fiksyen yang ditulis oleh tokoh-tokoh terkenal negara dan antarabangsa, saya sebenarnya lebih banyak belajar dari filem-filem hebat seperti Ocean Eleven, The Matrix, Sing, Narcos, Vincenzo, Prison Playbook, Godfather, The Hangover dan lain-lain. Apa yang saya belajar?

 

‘Common sense’

Setiap common sense yang diterapkan dalam filem-filem besar ini kebanyakannya saya gunakan kembali dalam kehidupan harian saya tidak kira sama ada secara peribadi mahupun secara profesional.

 

Apabila melibatkan perniagaan pula, saya melihat ada beberapa petikan babak awal yang boleh saya guna pakai berdasarkan filem blockbuster yang diterajui oleh George Clooney, Brad Pitt dan Matt Damon iaitu, Ocean Eleven. Strategi perancangan yang dilakukan oleh kumpulan 'pencuri' profesional ini memberikan kesan kepada saya dalam pembentukan strategi awal persediaan perniagaan.

 

Sesiapa pun akan merasakan yang idea perniagaan yang ada dalam kepala mereka adalah yang terbaik. Tetapi sayangnya mereka terus ‘terjun’ tanpa merancangnya dengan rapi. Akhirnya banyak masa, tenaga dan wang ringgit telah dihabiskan begitu sahaja sebelum mengetahui yang perniagaan mereka itu sebenarnya tidak boleh 'pergi jauh'. Pelajaran begini sangat mahal harganya.

 

Ada cara lain yang lebih efektif dan menjimatkan untuk kita tahu idea perniagaan itu boleh diteruskan ataupun tidak. Pada permulaan cerita Ocean Eleven, ketika Danny Ocean baharu keluar dari penjara, dia pergi menemui Rusty dan mengajaknya untuk melakukan satu rompakan terancang tiga kasino terkenal di Las Vegas pada hari perlawanan tinju di antara Lennox Lewis and Wladimir Klitschko yang bakal berlangsung.

 

Rompakan ini akan menjadi yang terbesar yang pernah mereka lakukan bersama, $160 juta sedang menanti mereka pada hari tersebut sekiranya berjaya. Peti besi yang hendak mereka rompak itu bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Memang misi ini sesuatu yang hampir mustahil, memandangkan elemen-elemen sekuriti yang mengelilingi peti besi itu sangat efisien dan amat sukar ditembusi. Jadi, geng 'penyangak profesional' ini sedar yang mereka perlu mempunyai perancangan yang betul-betul rapi dan kreatif untuk berjaya.

 

Anggaplah idea kita itu sebagai misi hendak merompak peti besi tadi. Imbuhan yang besar memang menanti dan rasa seronok tak terkira dan rasa tidak sabar untuk terus mengorak langkah itu memang ada. Cuma kita perlu sedar yang kita belum pernah lagi melakukan aksi ini.

 

Kalau pernah pun, mesti anda telah gagal atau pelaksanaannya tidak bagus sebelum ini. Kalau tidak, anda tidak akan baca artikel ini. Jadi kita mesti berhati-hati agar setiap wang ringgit dan tenaga yang akan dilakukan dengan lebih strategik dan tidak sia-sia. Jadi, apakah pendekatan mereka yang kita boleh belajar?

 

 

idea

 

Ambil masa secukupnya kumpul maklumat, kenali subjek & juga diri kita sendiri

Untuk menjayakan sesuatu yang hampir mustahil, yang belum pernah mereka lakukan, pertama sekali mereka tidak terburu-buru. Mereka mengambil masa yang agak lama untuk melakar strategi yang sangat rapi dan teliti. Kesabaran penting agar semua yang dirancang akan membuahkan berhasil. Perkara kedua yang mereka lakukan adalah mengenal pasti setiap peranan yang ada dan siapakah yang akan melakukan sesuatu kerja itu.

 

Mereka mengenal pasti dahulu siapakah yang akan menjadi ahli pasukan yang perlu mereka jemput untuk menyertai misi itu. Mereka sedar yang mereka memerlukan sebelas orang kesemuanya yang masing-masing mempunyai peranan tersendiri. Setelah proses merekrut selesai, mereka mula mengumpul maklumat tentang subjek iaitu kasino yang akan dirompak dan bagaimana hendak sampai ke bilik peti besi yang disasarkan. Mereka perlu faham segala-galanya tentang subjek sedalam mungkin agar dapat kesempatan dapat diambil ke atas mana-mana 'lubang' yang wujud.

 

Kita juga perlu melakukan perkara yang sama. Idea perniagaan, satu hal. Ia terhasil apabila kita 'nampak' ada peluang di situ melalui pemikiran logik kita sahaja. Tetapi pada masa yang sama kita juga perlu sahkan yang peluang itu benar-benar wujud. Cara untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam ialah melalui pembacaan tentang subjek itu. Dapatkan buku-buku yang sesuai, baca artikel-artikel tentangnya dan buat catatan nota.

 

Nota yang bagaimana? Nota yang menggunakan kaedah SWOT. Senaraikan setiap Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman subjek. Apabila selesai, kemudian bandingkan bacaan kita tadi melalui pemerhatian dengan melihat atau mengunjungi para pesaing yang mempunyai perniagaan yang hampir sama. Bandingkan dengan teori yang dibaca dengan pengalaman kita ketika melihat atau menggunakan perkhidmatan dan produk mereka. Lihat sendiri bagaimana perniagaan itu berfungsi dengan mata kasar. Fahamkan selok-belok proses yang ada. Selepas itu masukkan poin-poin baharu dalam SWOT tadi sekiranya ada.

 

Kita perlu pastikan juga subjek atau perniagaan yang hendak kita ceburi itu mempunyai sekurang-kurangnya dua jenis pendapatan iaitu:

1. Pendapatan yang masuk dengan kerap dan konsisten. Ini penting baru menampung kos operasi bulanan.

2. Pendapatan yang lebih besar yang masuk biasanya tidak kerap. Jumlah yang besar ini biasanya untuk kita gunakan sebagai simpanan dan mengembangkan lagi saiz perniagaan serta membiayai pelaburan jangka panjang kita nanti.

 

Ramai juga yang lupa tentang kekuatan diri kita sendiri. Kita sering menganggap yang kita ini seorang yang kuat, gigih, konsisten dan sanggup melakukan apa sahaja dalam masa yang panjang. Kita perlu sedar yang kita hanyalah manusia biasa. Jadi kita perlu realistik. Stamina kita tidak sentiasa tinggi, malah kita juga mempunyai masa 24 jam sahaja sehari dan 6-8 jam perlu diperuntukkan untuk tidur.

 

Kita juga perlu membahagikan sedikit masa untuk keluarga dan diri sendiri agar kita kekal sihat. Tubuh badan kita yang ada ini kita akan gunakan untuk tempoh yang lama. Subjek ini juga perlu difikirkan agar strategi yang akan dibina nanti tidak akan kembali menyusahkan diri kita sendiri.

 

Untuk lebih efisien, idea perniagaan tadi perlu sesuai dengan tiga faktor dalam diri kita dengan seimbang.

1. Pengalaman.

2. Kebolehan dan kepakaran.

3. Minat.

 

Ini sangat penting untuk kita kekal kreatif dalam membuat keputusan. Dan sebab itu juga, krew Ocean Eleven yang dipilih masing-masing memiliki kepakaran yang hebat dalam bidang tersendiri. Dan apabila kesebelasan mereka bergabung, kekuatan mereka sangat luar biasa dan proses melakukannya menjadi lebih berkualiti.

 

Kita juga sama, kita tidak mungkin mempunyai tujuh atau sepuluh kemahiran berbeza. Mungkin hanya satu atau dua sahaja. Jadi, subjek ini juga penting sebagai penilaian kepada bagaimana strategi yang akan dibentuk nanti.

 

Kembangkan semua subjek jadi strategi keseluruhan, kuatkan setiap satu darinya

Hari pasukan Ocean Eleven ‘menyerang’ kasino adalah kemuncak sebagai segala persiapan mereka. Sebelum hari yang ditunggu-tunggu ini sampai, strategi mereka perlu betul-betul mantap. Bagaimana? Setiap aspek diperincikan lagi agar mereka tidak tertinggal apa jua perkara yang tidak diingini berlaku. Sama juga dengan persiapan kita.

idea

 

 

Apabila proses pengumpulan maklumat tentang keseluruhan idea perniagaan lengkap, kita sudah boleh mengagak sama ada idea itu masih bagus, boleh diperkuatkan lagi ataupun tidak boleh diteruskan langsung. Sekiranya ia boleh diperkuatkan lagi, kita perlu ulang proses-proses di atas. Kalau idea yang ada sudah tidak boleh digunakan lagi, tidak mengapa. Berehat dahulu dan kemudian mulakan kembali langkah paling awal di atas.

 

Sekiranya kita rasa idea yang ada sudah bagus, kita boleh teruskan rancangan perniagaan ini dengan membina struktur model Canvas ini untuk melihat realiti dan potensinya dengan lebih holistik. Kita mahu melihat adakah ia benar-benar penyelesaian masalah, dan kalau ya, siapakah sasarannya? Guna format di bawah:

  1. Pengenalan. Ini adalah ringkasan kepada keseluruhan dokumen ini

  2. Latar belakang profesional pemilik atau pemegang saham. Ceritakan sedikit latar belakang pemilik atau syarikat korporat yang memiliki perniagaan ini.

  3. Sasaran. Ceritakan apakah sasaran kita dalam perniagaan dan siapa pula sasaran pasaran. Ia perlu terperinci dan kalau boleh mempunyai nombor-nombor.

  4. Masalah yang hendak diselesaikan. Ceritakan apakah masalah industri yang hendak kita selesaikan.

  5. Penyelesaiannya. Berdasarkan idea perniagaan tadi, apakah penyelesaiannya kepada masalah tersebut.

  6. Tawaran Nilai atau value proposition. Apakah kelebihan penyelesaian tersebut dan apakah yang membuatkan penyelesaian kita itu lebih baik berbanding yang ada di luar sana atau yang mereka sedang gunakan pada hari ini.

  7. Produk atau perkhidmatan yang disediakan. Ceritakan produk atau perkhidmatan yang kita hendak perkenalkan yang akan menjadi penyelesaian tersebut.

  8. Traction atau milestone. Perniagaan kita sekarang kini sudah berada pada tahap yang bagaimana.

  9. Persaingan. Ceritakan tentang persaingan yang ada, biasanya ia diceritakan melalui pembinaan matrix yang membuat perbandingan di antara beberapa jenama pesaing.

  10. Aspirasi. Apakah aspirasi kita?

  11. Model perniagaan. Ceritakan bagaimana perniagaan kita berfungsi secara terperinci.

  12. Strategi pemasaran. Apakah strategi untuk memasarkan produk atau perkhidmatan kita?

  13. Monetisation atau kaedah memperoleh pendapatan. Ceritakan bagaimana perancangan kita untuk mendapatkan hasil jualan dan keuntungan.

  14. Kedudukan kewangan. Ceritakan bagaimana kedudukan kewangan perniagaan kita hari ini.

  15. Penama untuk dihubungi. Masukkan salah seorang atau dua orang penama untuk dihubungi oleh bakal pelabur nanti sekiranya ada.

 

Jangan terburu-buru. Ambil sedikit masa lagi untuk memasukkan nota terbaru dan menambahbaik idea asal dengan menggunakan format ini. Setiap maklumat perlu dimasukkan dengan terperinci dan tidak boleh terlalu umum. Ia perlu disertakan dengan fakta, dan fakta biasanya diiringi dengan nombor.

 

Strategi validation atau pengesahan

Kini kita sudah mempunyai SWOT dan juga Canvas sebagai panduan untuk kita bergerak nanti. Kita perlu sentiasa mengemaskini kedua-duanya ini agar ia sentiasa mempunyai versi terbaharu agar memudahkan persediaan ketika berjumpa dengan bakal pelabur ataupun para pelanggan korporat.

 

Apabila semua perancangan telah dituliskan dalam satu nota SWOT, dan strategi pula telah dilakarkan dalam Canvas dengan teliti, kini tiba masanya untuk kita membuat sedikit apa yang dipanggil validation.

 

Ini penting agar kita tidak syok sendiri. Kita perlu keluar ke dunia yang sebenar, tidak kiralah sama ada secara dalam talian atau fizikal, yang penting kita perlu menceritakan kepada sesiapa yang dirasakan berpotensi untuk menjadi pelanggan, pelabur atau kedua-duanya tentang idea ini.

 

Kemudian, lihat sama ada dia berminat untuk menggunakan produk kita ataupun tidak. Reaksi kumpulan kecil ini sangat penting untuk kita mengetahui apa yang perlu kita ubahsuai, tukar dan perbetulkan tentang strategi tadi.

 

Cuba dapatkan seberapa banyak maklum balas daripada kumpulan sasaran ini dan lihat sentimen mereka. Kalau rata-rata nampak sendu sahaja, ini bermakna kita perlu membuat perubahan lagi ke atas strategi yang ada. Untuk mengubah tabiat mereka bukan mudah. Dan biasanya ia hampir pasti akan kena mengena dengan kelemahan tawaran nilai atau value proposition yang kita tawarkan.

 

Akhir sekali apabila semuanya telah diperbaiki dan diperkukuhkan, kita sudah boleh mula memikirkan untuk membuat sedikit pelaburan dan membeli beli domain bagi jenama yang akan kita gunakan itu. Boleh guna kaedah ini dalam pemberian nama yang berkualiti pada jenama kita.

 

Jalan terus

Kemudian bina satu laman web yang mempunyai satu sahaja muka surat yang dikenali sebagai landing page untuk dijadikan laman web sementara bagi mendapatkan alamat emel potensi pelanggan untuk pangkalan data kita. Kedua-dua ini tidak terlalu mahal.

 

Pada masa yang sama juga, kita sudah boleh menyediakan akaun media sosial di rangkaian-rangkaian di mana sasaran pelanggan kita berada. Mula kembangkan lagi pengikut media sosial di sana dan juga pada akaun peribadi sendiri.

 

Kita tidak perlu terlalu aktif memuat turun status terbaru setiap hari di media sosial kerana buat masa ini kita hanya mahukan username yang konsisten dengan jenama yang hendak kita bina ini. Setelah semuanya nampak lancar terutamanya apabila penerimaan mula dilihat semakin baik oleh kumpulan sasaran kecil tadi, maka kita sudah boleh teruskan aktiviti-aktiviti merealisasikan setiap strategi yang tertera pada Canvas tadi.

 

idea

 

Saya sangat teruja dengan babak terakhir Ocean Eleven, bagaimana mereka boleh keluar dari kasino tersebut dengan membawa wang rompakan $160 juta itu dengan bergaya sekali tanpa perlu risau ditangkap. Memang terbaik. Idea perniagaan kita juga perlu mempunyai pengakhiran yang baik seperti ini.

 

Ketika di saat perancangan inilah kita sepatutnya merancang bagaimana untuk menjadikan perniagaan yang akan dibina ini mampu untuk dijual, dilihat sangat bernilai untuk dibeli oleh potensi pembeli atau dilihat sangat penting untuk dibuat pelaburan oleh bakal pelabur. Ini dikenali sebagai exit strategy. - DagangNews.com

 

 

Azleen Abdul Rahim adalah seorang pakar strategi pemasaran, juga penulis di blog Tanarata dan kini kolumnis DagangNews.com menerusi kolum IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI IDEA DIGITAL

 

 

Portfolio Tags