Bagaimana Membina Autoriti dan Pengaruh Dengan Menggunakan Kandungan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Idea Digital - 10 August 2021

Bagaimana Membina Autoriti dan Pengaruh Dengan Menggunakan Kandungan?

Apa sahaja yang kita kongsikan bakal menjadi panduan atau ikutan ramai

 

 

 

APAKAH itu autoriti? Autoriti bermaksud kita atau jenama syarikat kita akan sentiasa menjadi rujukan oleh bukan sahaja pengikut rapat tetapi juga sesiapa sahaja yang mengenali kita.

 

Kita akan dilihat sebagai individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan pengetahuan dalam satu-satu bidang tertentu. Hampir setiap apa yang dikongsikan kepada mereka, tidak kira sama ada secara dalam talian ataupun secara mulut-ke-mulut, ia sedikit demi sedikit akan membina pengaruh kita ke arah yang lebih besar.

 

Pengaruh yang besar ini bukan sahaja akan menaikkan jenama peribadi dan syarikat dengan lebih baik lagi berbanding para pesaing kita yang lain dalam industri yang sama, tetapi juga aura kita apabila berjumpa secara fizikal.

 

Secara tidak langsung, ia turut membuka lebih banyak peluang-peluang perniagaan, peluang untuk berucap di majlis-majlis rasmi, jemputan untuk menjayakan sesuatu acara dan sebagainya.

 

Jangan terkejut jika kita pernah melihat beberapa individu yang mempunyai begitu ramai pengikut, tetapi pengaruh mereka tidak begitu menyerlah. Kandungan yang dikongsi pula agak carca-marba, tidak fokus dan tidak mendatangkan apa-apa faedah atau manfaat kepada orang lain.

 

Tetapi sebaliknya terdapat pula satu jenis lagi individu yang dilihat agak menarik personaliti mereka, seolah-olah mempunyai aura positif tertentu yang dapat dirasai oleh orang di sekeliling, walaupun jumlah pengikutnya tidak begitu ramai. Ini kerana individu ini berkongsi sesuatu kandungan dan status yang bermanfaat kepada para pengikut yang ada dengan harapan ia akan membantu menjadikan kehidupan mereka lebih baik lagi.

 

Jadi, bagaimana caranya untuk kita membina autoriti yang mampu meningkatkan tahap pengaruh di luar sana dengan lebih efektif, terutamanya di mata bakal-bakal pelanggan hanya dengan menggunakan kandungan.

 

Saya akan ceritakan kepada anda semua setiap langkah yang boleh diambil agar perjalanan ini tidak akan mengambil masa yang terlalu lama.

 

 

idea

 

 

#Sentiasa Membaca
Ini bukan sahaja sangat penting, tetapi perkara yang paling utama sekali yang perlu kita lakukan dengan konsisten.

 

Tidak kiralah sama ada kita hendak membaca artikel-artikel pendek di internet, menonton video, melihat infografik, membaca buku dan laporan-laporan tertentu, membaca sentiasa akan membantu kita menyerlahkan penciptaan idea-idea yang bernas yang ada dalam kepala melalui teori-teori yang baharu kita faham dan pengalaman orang lain tentang sesuatu.

 

Tanpa membaca, kita tidak akan mendapat ilmu yang dikehendaki sebagai pengetahuan yang mendalam. Bacaan yang patut kita fokus di sini adalah subjek berkaitan dengan bidang dan industri kita sendiri.

 

Dan apabila kita lebih mahir melalui pengetahuan yang ada, dengan sendirinya kita akan dapat membina personaliti dengan lebih baik lagi.

 

#Sentiasa Memerhati
Pembacaan sahaja tidak akan bermakna sekiranya kita tidak ikutinya dengan pemerhatian. Teori, pengetahuan dan pengalaman orang yang kita baca tadi perlu disahkan terlebih dahulu dan lihat keberkesanannya secara praktikal sebelum menerimanya bulat-bulat.

 

Ini kerana, penulisan tadi mungkin sesuai di Barat tetapi tidak di negara ini. Mungkin juga ia sesuai untuk satu-satu industri itu tetapi tidak pada industri lain.

 

 

observant

 

 

Salah satu cara untuk membuat pengesahan terhadap apa yang kita baca ialah dengan melihat penggunaannya melalui pemerhatian tingkah laku yang wujud secara realiti.

 

#Sentiasa Melaksanakannya
Mungkin apa yang kita baca tadi dapat dilihat tahap keberkesanannya melalui pemerhatian yang kita lakukan, namun ia tidak bermakna kita akan mendapat hasil yang sama dari apa yang dibaca dan diperhatikan.

 

Jadi kita perlu mencuba sendiri terlebih dahulu sekiranya kita ingin melihat hasilnya dengan mata kepala kita sendiri. Ini akan membuktikan kepada kita yang teori tadi mampu memberikan keputusan tertentu secara realiti.

 

Pengalaman ini penting agar kita mampu bercerita dengan lebih baik kepada orang lain apa yang dialami.

 

#Sentiasa Sediakan Kandungan
Apabila kita sentiasa membaca, sentiasa memerhati dan membuat perbandingan teori dan praktikal tentang apa yang dibaca, dan sentiasa menguji apa yang dibaca dan diperhatikan melalui perlaksanaan, secara automatik kita akan mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam.

 

Perasaan ingin tahu ini akan ‘memaksa’ kita untuk mencari dan mengorek jawapan-jawapan bagi menjawab apa yang bermain di kepala kita. Dan kita sentiasa catatkan setiap penemuan ke dalam nota.

 

Guna nota-nota tadi dan bina kandungan sendiri, keluarkan pandangan, pendapat dan idea kita tentangnya. Kita boleh menulis, membuat infografik, menyediakan video, persembahan slaid, membuat podcast atau kombinasi kelima-lima ini.

 

 

idea

 

 

Yang penting, setiap kandungan yang kita bina itu mesti mempunyai struktur. Melalui cara ini, ia akan memaksa kita untuk menyusun corak penceritaan yang kita akan tulis agar para pembaca dapat membaca dan memahami tentang apa yang diceritakan itu dengan baik.

 

#Sentiasa Berkongsi
Setelah kita berjaya mengolah pemikiran tadi melalui pembinaan kandungan yang berstruktur, kongsikannya dengan orang lain. Kandungan yang dibina perlu dimasukkan terlebih dahulu ke dalam laman web. Sekiranya kita tidak memiliki laman web, tidak mengapa.

 

Terdapat beberapa platform kandungan yang boleh kita gunakan untuk meletakkan kandungan kita tadi. Di antaranya ialah Marketing In Asia, Medium dan Substack.

 

Platform-platform ini mempunyai kekuatan SEO atau kekuatan untuk mudah dijumpai di Google dan Bing jauh lebih baik berbanding laman web sendiri.

 

Setelah kandungan-kandungan kita diletakkan di sana, terus kongsikan pautannya di media-media sosial, di bengkel-bengkel yang kita kendalikan ataupun melalui persembahan atau presentation di hadapan para hadirin.

 

 

idea

 

 

Ingat, orang tidak suka diajar, tetapi lebih gemar mendengar cerita dari perkongsian kita. Jadi, penyampaian, penjelasan dan maklumat yang kita kongsikan itu, dipersembahkan kepada mereka perlu dari perspektif penceritaan dan bukannya mengajar.

 

Apabila mereka mampu ‘melihat’ apa yang kita lihat tentang sesuatu perspektif itu, dengan sendirinya mereka akan hormat pada autoriti kita.

 

#Sentiasa Fokus
Elak dari membina kandungan, menulis dan berkongsi tentang topik-topik yang berada di luar dari bidang sendiri. Berdasarkan pengalaman saya, sebaik-baiknya cuba untuk tidak masuk campur dalam bidang-bidang lain yang kita tidak mempunyai pengetahuan mendalam.

 

Sebaliknya fokus kepada topik-topik yang berkisar tentang bidang kita sahaja. Mengapa? Kerana ia boleh memberikan persepsi negatif kepada jenama kita sekiranya apa yang kita komen dan tulis itu tidak tepat atau jauh daripada fakta sebenar.

 

#Sentiasa Jangan Mengaku
Hanya individu yang bongkak sahaja yang akan mengaku dirinya bagus. Hanya yang bongkak sahaja yang akan mengaku dirinya jauh lebih baik, jauh lebih pandai dan jauh lebih popular dari orang lain.

 

Untuk mendapatkan kekuatan dan impak sebagai seorang yang mempunyai autoriti yang tinggi, biarkan orang lain yang melabelkan kita sebagai seorang autoriti, bukan dari pengakuan dari diri sendiri.

 

 

idea

 

 

Pembinaan autoriti ini adalah satu perjalanan dan bukan satu destinasi. Kita tidak akan melihat hasilnya dalam masa sebulan dua.

 

Melalui formula yang saya kongsikan ini, ia akan mengambil sedikit masa sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan untuk kita rasakan hasil yang terbaik. Apa yang kita perlu ada untuk menjayakannya adalah disiplin dan stamina. Tanpa kedua-dua ini, berkemungkinan besar kita akan gagal mencapai apa yang dihajati. – DagangNews.com

 

 

Azleen Abdul Rahim adalah seorang pakar strategi pemasaran, juga penulis di blog Tanarata dan kini kolumnis DagangNews.com menerusi kolum IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI IDEA DIGITAL

 

 

Portfolio Tags