Bagi ruang FGV untuk benar-benar dapat kembali bernafas | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 1 September 2021

BAGI RUANG FGV UNTUK BENAR-BENAR DAPAT KEMBALI BERNAFAS

 

 

 

FELDA Global Venture (FGV) pernah dikata mempunyai “skandal” yang lebih besar daripada skandal 1MDB kerana ia memberi kesan kepada lebih banyak orang terutamanya peneroka Felda yang juga turut mengambil bahagian dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO) terbesar di dunia.

 

Dek kerana bergelut dengan “skandal” ini, pada 2018, FGV mencatatkan kerugian hampir RM1 bilion dan nilai sahamnya pernah berkurang sebanyak 86% dari harga awal didagangkan iaitu RM4.55 hingga jatuh ke RM0.64 sahaja.

 

Bayangkanlah serendah itu saham FGV pernah turun dan FGV dilihat sebagai sebuah syarikat yang tidak stabil.

 

Terbaru FGV mengumumkan untung bersih sebanyak RM338.82 juta pada suku tahun kedua berakhir Jun 2021. Keuntungan sebelum zakat dan cukai FGV juga melonjak sebanyak 2,600% kepada RM501 juta berbanding RM18 juta sahaja pada suku yang sama tahun lalu.

 

Kenapa tiba-tiba FGV untung banyak?

Keuntungan yang melonjak naik ini didorong oleh keuntungan dari perniagaan perladangan, gula dan logistik. Prestasi kukuh suku tahun kedua 2021 ini kerana peningkatan margin produk sawit, peningkatan margin keuntungan kasar bagi perniagaan gula serta keuntungan daripada logistik dengan jumlah pengendalian kargo yang tinggi. 

 

Kenali FGV

Felda Global Ventures diperbadankan sebagai sebuah syarikat berstatus Sendirian Berhad pada 19 Disember 2007.

 

FGV pada mulanya dikendalikan sebagai cabang perdagangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Perniagaan teras FGV merangkumi Sektor Perladangan, Logistik & Lain-lain (LO) dan Sektor Gula.

 

FGV mula disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 2012 dan penyenaraian tawaran awam awal (IPO) syarikat ini merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

 

FGV ialah syarikat ketiga terbesar kelapa sawit di dunia dan di Malaysia sahaja, FGV mengawal lebih 850,000 hektar tanah, yang merangkumi 500,000 hektar secara kasar bahawa ia menyewa dan menguruskan untuk 112,635 pekebun kecil FELDA.

 

 

volatiliti

 

 

Dibutakan Mata, Dipekakkan Telinga

FGV pernah diseret dengan skandal apabila ada “khabar angin” menyatakan ada ahli Lembaga pengarah FGV membuat keuntungan dari urus niaga di luar.

 

Media melaporkan pengarah berkenaan secara diam-diam mengaut keuntungan berjuta-juta kerana membenarkan Syarikat XXX menggunakan nama FGV mengeksport Palm Kernell Shell (PKS) - Tempurung Kelapa Sawit ke Jepun.

 

Skandal ini ibarat dibutakan mata, dan dipekakkan telinga oleh FGV selama beberapa tahun. Secara tidak langsung, hal ini memberi kesan kepada jenama FGV kerana banyak masalah timbul dalam pengambilan gred PKS dan mendakwa ia 100% daripada FGV PKS.  Ini memusnahkan nama baik FGV di pasaran dunia.

 

Pengurusan FGV perlu lebih telus dan lantikan pengarah dan CEO FGV kepada individu atau teknokrat yang berwibawa untuk membawa kemajuan FGV tanpa mempunyai kepentingan peribadi.

 

Lantikan CEO Baharu Memacu Prestasi Kehadapan FGV

Terbaru, lantikan Mohd Nazrul Mansor sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)  berkuatkuasa 23 Ogos yang lalu, diharap mampu membawa FGV memacu prestasi ke hadapan.

 

 

nazrul
Mohd Nazrul Mansor

 

 

Melihat kepada pengalaman Nazrul yang merupakan CEO Felcra sebelum ini, selain pengalaman luas selama 22 tahun dalam pelbagai industri dan portfolio termasuk pelbagai tugasan audit, pengurusan risiko dan perancangan korporat dilihat sebagai pilihan yang tepat.

 

Sinergi Kerjasama FELDA dan FGV

Seperti yang telah diketahui umum, FELDA telah memiliki lebih 80% dan pastinya kerjasama FELDA dan FGV ini akan membentuk sinergi yang akan membawa manfaat kepada kedua-dua organisasi ini.

 

Walaupun FELDA telah memiliki keseluruhan besar ekuiti FGV, FELDA perlu  mempertimbangkan implikasi dan kesan daripada langkah untuk menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian.

 

Ia khususnya kesan pengambilalihan saham FGV   kepada peneroka dan pemegang saham minoriti. FELDA perlu berlaku adil kepada FGV memandangkan FGV kini sudah berada pada kedudukan kewangan yang baik.

 

FELDA sepatutnya menggunakan jangkaan perolehan akan datang atau 'future earning' bagi mengira harga tawaran berbanding tawarannya untuk menjadikan FGV syarikat persendirian.

 

 

fgv

 

 

Pelan “Drive Sustainable Growth”

Untuk memastikan FGV terus berkembang dengan mampan, FGV perlu merangka pelan transformasi komprehensif dalam jangka masa panjang, Pelan ini untuk memastikan FGV melaksanakan aktiviti nilai tambah untuk memaksimumkan pulangan kepada pemegang sahamnya.

 

Pelan transformasi komprehensif ini boleh memberi penekanan kepada penggunaan sumber yang lebih baik bagi menjana pulangan tinggi terhadap aset FGV sendiri.  Dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu, FGV juga boleh meningkatkan portfolio bagi menyeimbangkan struktur yang tidak cekap dan memaksimumkan nilai menerusi rantaian nilai perniagaan bersepadu.

 

FGV perlu optimis merangka pelan merangkumi kemajuan operasi bagi memaksimumkan produktiviti, meningkatkan kualiti dan mengurangkan kos. Selain itu FGV juga perlu memastikan penembusan produk dan pasaran bagi mengoptimumkan nilai perladangannya, gula dan rantaian nilai logistiknya bagi tempoh jangka masa panjang.

 

Jangan Politikkan FGV Lagi

Biarlah FGV merangka pelan yang baik bagi memastikan kemampanan syarikat ini. Janganlah FGV “dipolitikkan” lagi. Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) menggesa kerajaan untuk tidak campur tangan dalam terhadap pengerusi GLC di negara ini.

 

 

fgv

 

 

Tugas, tanggungjawab dan keputusan pengerusi di FGV tidak boleh dicampuradukkan dengan tujuan politik kerana tugas pengerusi bukan sekadar menjadi pemantau tetapi menjadi pemangkin ke arah menaikkan prestasi syarikat.

 

Politik dan perniagaan tidak boleh bercampur.  Jika politik dan perniagaan dicampuradukkan, perniagaan itu boleh mengalami “kehancuran”. Kita tidak mahu apa yang telah berlaku kepada FGV berlaku lagi.  FGV sedang berada pada landasan yang betul kini, bagilah ruang dan peluang kepada FGV untuk “bernafas” sendiri tanpa campur tangan politik dalam pengurusan FGV.  - DagangNews.com

 

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags