Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Dari Hikayat Kita - 25 June 2022

BAHASA, BUDAYA DAN PERADABAN MELAYU DI MATA MASYARAKAT

 

 

 

 

BEBERAPA tahun dahulu,  di suatu persidangan yang kami hadiri bersama, Dr Hadijah Rahmat dari Universiti Nanyang, Singapura pernah bertanyakan soalan yang begitu mudah sekali pandang, namun begitu susah penyelesaiannya.

 

“Bagaimana kita boleh melibatkan generasi muda untuk menghidupkan semula minat terhadap Manuskrip Melayu?” Profesor Stuart Robson dari Universiti Monash, Australia berkata: “Untuk membolehkan keadaan itu, manuskrip itu sendiri mesti menjadi sebahagian daripada identiti budaya kita, sebahagian daripada siapa kita, persepsi kita terhadap diri sendiri."

 

Saya terkejut mendengar kata-kata Prof Stuart.

 

Apabila membincangkan Manuskrip Melayu, saya sering menekankan bahawa mengikut Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, kebudayaan kebangsaan mesti, pertama, berasaskan budaya peribumi (Bumi dan Melayu); kedua, unsur-unsur yang sesuai daripada budaya lain boleh diterima sebagai sebahagian daripada budaya kebangsaan; dan ketiga, bahawa Islam adalah komponen penting dalam membentuk budaya kebangsaan.

 

Daripada hujah ini, adalah penting bahawa Manuskrip Melayu, sebagai ‘pintu masuk’ atau kekunci kepada pemikiran dan kearifan Melayu lama, menjadi sudut penting dalam membangunkan titik rujukan budaya kebangsaan — begitu intrinsik tentang jatidiri dan keberadaan kita.

 

Benar, jika kita biarkan Manuskrip Melayu terpinggir, akan hilanglah jatidiri orang Melayu kerana kurang arif dengan kejayaan dan kehebatan masa lampau.

 

KAJIAN LAMA

Di persidangan itulah, saya berkenalan dengan pemikir dan pakar Manuskrip Melayu seluruh dunia dan mengenali apakah kepentingannya kearifan lokal, kesusasteraan, perundangan dan ilmu yang disimpan di dalam Manuskrip Melayu memberi bayangan tamadun terawal bangsa itu sendiri.

 

Kebangkitan Kerajaan-kerajaan Alam Melayu yang boleh dijejaki apabila membaca Hikayat Melayu, dan saya berpendapat Hikayat Melayu sering mencatatkan sudut pandangan sejarah secara santai dan bersahaja sepanjang zaman. Justeru, ianya adalah pandangan yang benar-benar mencerminkan keadaan di zaman itu.

 

 

manuskrip
Manuskrip Hikayat Hang Tuah yang disimpang di Perpustakaan Negara Malaysia.

 

 

Dalam menceritakan kisah di istana, masyakat lama dapat melihat perihal Istana. Kadangkala, tiada keterkaitan antara peristiwa ini. Unsur-unsur mitologi sering digunakan untuk menandakan masa lampau kerana ia memberikan petunjuk masa. Kisah di luar jangkaan atau begitu mengasyikkan ini  juga digunakan untuk mengisi kekosongan, dengan rujukan kepada cerita budaya dan epik lain - Yunani dan Cina, Ramayana, dan juga Mahabhrata.

 

Ini menambah variasi kepada kesusasteraan yang sudah kaya tetapi tidak dijadikan sebagai bahan utama. Rujukan kepada legenda dunia lain sememangnya memberikan cita rasa antarabangsa dan kosmopolitan tertentu dan menambah kekuatan apabila kita melihat rujukan yang diulang dalam pelbagai hikayat, contohnya, persamaan yang kuat dalam bab pembukaan Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Malim Deman.

 

Walau bagaimanapun, ini rempah  ratus yang ditambah kepada hidangan yang sudah sedia lazat.

 

Warisan ilmu kita yang dipelihara melalui naskhah-naskhah bagai permata – di manakah di dunia ini satu-satu bangsa yang dijajah ratusan tahun mempunyai manuskrip kuno terlalu banyak puluh ribu dan tidak terhingga indahnya, sehingga penjajah juga tidak ingin menghancurkan manuskrip tersebut untuk menghilangkan bukti ketamadunan bangsa terjajah. Malah Manuskrip Melayu disimpan di institusi tertinggi dunia Barat seperti Cambridge, Leiden University dan banyak lagi – dikaji dan ditelaah, dikongsi dan didigitalisasi hingga hari ini?

 

Asimilisasi budaya lain ke Alam Melayu memang berlaku pada zaman dahulu sekitar abad ke-7 hingga abad ke-13. Kedatangan Islam pada abad ke-13 tidak melenyapkan pengaruh terawal kerana ia menjadi sebahagian daripada upacara harian dan diraja dalam masyarakat yang kaya dan cukup yakin untuk menerima gabungan dengan budaya lain. Rujukan-rujukan ini kekal walaupun terdapat penukaran kepada agama Islam yang jelas dan menyeluruh semasa Kesultanan Melaka.

 

Keindahan penceritaan Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah diiktiraf UNESCO menceritakan keagungan pemerintahan Kesultanan  Melayu Islam abad ke-15 dan 16.

 

Kisah cinta Abimanyu Gugur, Rama dan Sinta dan The Death of Salya kesemuanya mengagungkan kisah percintaan yang mempunyai asal usul kisah legenda Hindu -  memberitahu kita bahawa Manuskrip Melayu dan Alam Melayu mengkaji rahsia tersorok di antara ayat ayat berseni – saling tak tumpah seperti novel Orhan Pamuk ‘My Name Is Red’ menunjukkan kekayaan budaya abad ke-16 di Istanbul.

 

 

abhimanyu
llustrasi Abimanyu dari buku Mahabharata, The Epic of Ancient India oleh Romesh Dutt, 1899.

 

 

Kita mengenal pelukis terbaik Kerajaan Uthmaniyyah - artisan manuskrip, atau ‘miniaturists’ yang paling disanjungi bagai selebriti di zaman itu. Kita mula yakin dan percaya kehebatan Kerajaan Uthmaniyah apabila buku ‘My Name is Red’ memukau seluruh dunia.

 

Melalui pembacaan, melalui penghargaan yang mendalam dan soalan yang ditimbulkan, Manuskrip Melayu boleh mencetus rasa ingin tahu tentang

  • Adab dan Adat  zaman dahulu
  • Keharmonian dan cara hidup dahulukala
  • Struktur politik dan perundangan zaman itu
  • Kreativiti dan inovasi wira dan srikandi Melayu
  • Bahasa yang indah

 

Namun begitu, keindahan cerita rakyat dan dongeng kita bukanlah satu-satunya warisan yang tersimpan dalam halaman manuskrip tersebut.

 

YANG TERSIRAT

Seperti kod rahsia, Manuskrip Melayu itu merupakan Borobodur,  Angkor Wat dan Tembok Besar kita yang tidak ternilai. Walaupun tiada batu dan tembok, menara ataupun candi, manuskrip itu berdiri sama tinggi dengan bangunan purba kerana merekalah khazanah bangsa. Aksara jawi itulah batu bata membina tamadun. Dengan memansuhkan atau mempercepatkan pelupusan aksara jawi, kita kehilangan khazanah kita sendiri.

 

Kini, kita lihat penulis kita mula membawa Alam Melayu ke dimensi hari ini. Zaman ini. Penulis Melayu seperti Awan Wafdan,  Aliff Mustafa dan yang seangkatan termasuk buku-buku saya sendiri, kita mula menjinak, memujuk, dan memukau generasi baru mengenal dunia Melayu yang indah, bahasa yang tinggi berseni dan plot alam semesta Dunia Melayu yang begitu besar.

 

 

Awan Wafdan
Hikayat Adiwangsa Lasykar karya Awan Wafdan

 

 

Yang tersirat itu sebenarnya kesusasteraan yang amat diperlukan untuk membawa pulang jati diri anak bangsa yang terkambus dan terpijak ratusan tahun.

 

Kembalilah.

 

Kembalilah mengenal Alam Melayu warisan sebenar kepulauan Melayu ini. Warisan Bumi dan Samudera. Warisan tok nenek kita yang mengarang lebih 10,000 Hikayat Melayu, Hukum Kanun dan Kitab Ilmu kita tersimpan seluruh dunia.

 

Jangan dibiarkan menjadi pusaka yang hilang.

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags