BAJET 2021: Persatuan Pekedai Kopi desak kerajaan hapuskan segera rokok seludup | DagangNews Skip to main content

BAJET 2021: Persatuan Pekedai Kopi desak kerajaan hapuskan segera rokok seludup


KUALA LUMPUR 21 Okt. – Kerajaan Pusat perlu mengambil langkah drastik dan meluas dalam menghentikan pasaran rokok seludup demi memastikan kelangsungan hidup perniagaan runcit dan kedai kopi di seluruh negara, demikian menurut Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA).

 

Desakan persatuan yang mewakili lebih 20,000 pemilik kedai kopi di seluruh negara itu berikutan laporan terbaharu yang meletakkan Malaysia sebagai negara dengan pasaran rokok seludup terbesar di dunia.

 

Presiden MSCSPGA, Datuk Ho Su Mong berkata, persatuan ini kecewa namun tidak terkejut dengan pendedahan bahawa negara ini berada pada kedudukan pertama sebagai negara memiliki pasaran rokok seludup terbesar di dunia. Ini bukanlah sesuatu yang seharusnya dibanggakan oleh rakyat Malaysia.

 

Presiden MSCSPGA, Datuk Ho Su Mong
                       Ho Su Mong

 

Beliau berkata, seluruh sektor peruncitan termasuk perniagaan kedai kopi di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya sudah menderita kerugian akibat aktiviti jual beli rokok seludup.

 

"Tahun demi tahun kami melihat pelanggan semakin kurang membeli produk tembakau yang sah. Dalam situasi pelanggan terus beralih kepada produk tidak sah yang murah sebagai alternatif, maka kadar pengambilan rokok seludup terus meningkat seperti yang dicatatkan ketika ini.

 

“Hari ini, lebih daripada 65% daripada keseluruhan pasaran tembakau negara merupakan rokok seludup. Dalam situasi ekonomi semasa yang mana perbelanjaan rakyat terjejas, adalah tidak mengejutkan untuk menyaksikan kadar ini meningkat sehingga melebihi 70%. Situasi ini hanya akan menambah beban kepada perniagaan rokok yang sah,” kata Ho dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut beliau, alasan utama mengapa ramai pengguna beralih kepada rokok seludup adalah kerana jurang perbezaan harga yang terlalu besar dengan rokok yang sah.

 

“Harga rokok seludup adalah terlalu murah berbanding rokok sah. Bergantung kepada tempat, sekotak rokok seludup boleh dibeli serendah RM3.50 manakala rokok sah berjenama dijual lima kali ganda lebih mahal,” katanya.

 

Ho turut menambah krisis COVID-19 yang berterusan juga memberi tekanan kepada banyak perniagaan sehingga ke tahap bankrap sekali gus memerlukan isu rokok seludup ditangani bagi mengelak kerugian dari segi pulangan hasil dari sumber utama.

 

“Memastikan kelangsungan perniagaan perlu menjadi keutamaan kepada Kerajaan Pusat dalam mempertahankan ekonomi negara.

 

“Dalam Bajet 2021 akan datang, kami mendesak Kerajaan Pusat melaksanakan langkah-langkah komprehensif dan efektif untuk menangani faktor permintaan dan tawaran yang telah mendorong kepada pertambahan mendadak rokok seludup di Malaysia hari ini.

 

"Polisi-polisi kerajaan haruslah melihat bukan sekadar kepada penguatkuasaan sahaja tetapi juga mempertimbangkan kaedah penyelesaian lain yang boleh menangani faktor permintaan, termasuk mengkaji semula rumusan percukaian ke atas produk tersebut ,” kata Ho.

 

Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura ditubuhkan pada 1947. Ketika ini, persatuan ini mempunyai sebanyak 45 ahli bersekutu dan 20,000 ahli di seluruh Malaysia dan Singapura. Peranan utama pertubuhan ini adalah untuk melindungi hak dan perniagaan ahli-ahlinya. - DagangNews.com