Bajet 2022 : Cukai Makmur diperkenal kepada syarikat catat pendapatan tinggi | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022 : Cukai Makmur diperkenal kepada syarikat catat pendapatan tinggi

 

 


KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, dikenali sebagai Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi di bawah Bajet 2022.

 

Ini kerana menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berikutan krisis pandemik COVID-19, keperluan meningkat untuk membiayai golongan rakyat yang terjejas. 

 

Katanya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman pada masa hadapan.

 

"Dengan nama Cukai Makmur, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan 
dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022," katanya dalam pembentangan Bajet 2022 petang ini.

 

Beliau berkata, kerajaan telah menangani krisis pandemik COVID-19 dalam keadaan ruang fiskal yang sempit memandangkan ekonomi masih belum pulih sepenuhnya dan kutipan hasil yang terjejas.

 

Oleh itu, katanya, kerajaan terpaksa bergantung kepada sumber hasil bukan cukai di samping meningkatkan hutang statutorinya bagi memastikan pakej bantuan dan rangsangan serta projek pembangunan dapat diteruskan.

 

Bagi tahun 2022, iaitu tahun pemulihan ekonomi, reformasi dan pengukuhan fiskal akan dimulakan bagi membina semula benteng ketahanan fiskal negara dalam menghadapi cabaran di masa hadapan. -  DagangNews.com