BAM bersetuju teruskan kerjasama dengan Wilayah Ehime bagi tujuan pembangunan sukan | DagangNews Skip to main content

BAM bersetuju teruskan kerjasama dengan Wilayah Ehime bagi tujuan pembangunan sukan

KUALA LUMPUR 14 Jan - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersetuju meneruskan kerjasama dengan Wilayah Ehime, Jepun bagi tujuan pembangunan sukan untuk kedua-dua negara.

 

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, jalinan kerjasama yang bermula sejak 2018 itu diadakan sebagai usaha mempersiapkan pemain untuk berhadapan ke Sukan Olimpik 2020.

 

"Hari ini adalah hari yang sangat bermakna buat kami, BAM dan Ehime bersetuju untuk meneruskan jalinan kerjasama ini bagi tujuan pembangunan sukan di kedua-dua negara.

 

"Ia adalah situasi menang-menang buat kami. Selain menjadi destinasi pelancongan, Ehime adalah lokasi terbaik untuk dibangunkan sebagai bandar sukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mohamad Norza juga berterima kasih kepada gabenor Ehime, Tokohiro Nakamura dan sokongan masyarakat setempat ketika atlet negara berada di sana untuk menjalani persiapan untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan berhasil meraih pingat gangsa menerusi pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

 

Jalinan kerjasama itu juga mendapat pujian daripada Kementerian Luar Jepun pada tahun 2020 dan BAM sangat berbesar hati kerana dapat mengukuhkan ikatan kedua-dua negara menerusi sukan badminton.

 

bam

 

Sejak jalinan kerjasama itu bermula, tiga kem latihan sudah diadakan di Ehime melibatkan 60 atlet senior dan remaja pada 2018 dan 2019. - DagangNews.com