Bank digital dijangka pulang modal dalam tempoh 3 hingga 5 tahun | DagangNews Skip to main content

Bank digital dijangka pulang modal dalam tempoh 3 hingga 5 tahun

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Mei - Bank digital dijangka mengambil masa 3 hingga 5 tahun untuk mencatat pulangan modal memandangkan mereka memerlukan masa untuk membina skala perniagaan, demikian menurut Ernst & Young Consulting (EY).

 

Perkara itu dikongsikan dalam nota kajian CGS-CIMB Research hari ini selepas firma penyelidikan itu menganjurkan sesi perbincangan dengan rakan kongsi EY, Ling Kay Yeow mengenai impak dan masa depan bank digital di negara ini.

 

Senada dengan EY, CGS-CIMB turut menjangkakan bank-bank digital akan kembali pulang modal antara 2026 dan 2029, sekiranya memulakan operasi menjelang 2023 hingga 2024.

 

"Namun, kami berpendapat bank digital tidak akan dapat terlibat dalam persaingan harga yang berpanjangan dengan bank sedia ada sebelum mereka mula menghasilkan keuntungan kerana ini akan mengurangkan lagi dana pemegang saham mereka, yang jauh lebih kecil daripada bank penyandang," katanya.

 

Pada 29 April lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) menganugerahkan lesen bank digital kepada 5 konsortium yang dibentuk syarikat berkaitan kewangan.

 

Sebanyak 3 daripada penerima iaitu konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd; konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd; dan konsortium yang diterajui Sea Limited dan YTL Digital Capital akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK).

 

Bagi 2 lagi penerima, iaitu konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Bhd dan MoneyLion Inc; serta konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn. Bhd. akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).

 

Baca : 5 konsortium raih lesen bank digital BNM, gandingan Boost-RHB tepati ramalan

 

Dalam sesi perbincangan itu, EY berpandangan, bank sedia ada mempunyai 3 pilihan dalam strategi mereka untuk bertindak balas terhadap kemunculan bank digital baharu.

 

Pertamanya, adalah membina infrastruktur mereka sedia ada, kedua, mewujudkan saluran digital baharu dan ketiga, mewujudkan bank digital sahaja dengan lesen sedia ada.

 

Namun, CGS-CIMB berpendapat, pilihan ketiga tidak mungkin dilaksanakan bank penyandang kerana kos tambahan dan pelaburan yang terlibat, serta risiko kewangan dan reputasi (jika usaha niaga digital sahaja gagal).

 

EY turut menganggarkan jumlah nilai (menyamai hasil) sebanyak RM91 bilion untuk bank (pelanggan runcit dan PKS) pada 2023.

 

"Dalam hal ini, kami berpendapat bank-bank digital boleh menyasarkan untuk menguasai bahagian pasaran dalam segmen yang berjumlah keseluruhan kumpulan nilai kira-kira RM10 bilion, terdiri daripada RM3 bilion pelanggan pinjaman PKS baharu dan RM7 bilion untuk pelanggan runcit yang kurang dan tidak mendapat perkhidmatan perbankan," tambahnya.

 

Firma penyelidikan itu memetik kaji selidik yang dijalankan EY, mendapati peratusan tinggi responden mendedahkan bahawa keperluan mereka tidak dipenuhi sepenuhnya oleh perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh bank, dengan 45% mengatakan keperluan mereka tidak dipenuhi dari segi perkhidmatan perancangan persaraan, 41% untuk simpanan dan pelaburan dan 35% untuk pembiayaan dan pinjaman.

 

Menurut CGS-CIMB, faktor tersebut memberi peluang kepada bank digital baharu untuk memasuki pasaran dan memperoleh sedikit penguasaan pasaran daripada pemain industri sedia ada.

 

Bagaimanapun, katanya, tiada jaminan bahawa semua bank digital akan berjaya melakukannya melainkan mereka mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang keperluan pelanggan (terutama keperluan yang tidak dipenuhi) dan menawarkan cadangan nilai lebih baik dari segi penyampaian perkhidmatan dan kadar.

 

"Kualiti ini amat penting dalam membangunkan kelebihan daya saing mereka terhadap bank penyandang, yang mempunyai francais perniagaan yang lebih kukuh dan rangkaian cawangan yang besar.

 

"Pada pandangan kami, teknologi sahaja bukanlah satu-satunya faktor kejayaan. Ini perlu digabungkan dengan model perniagaan yang inovatif dan penawaran produk yang menarik minat pelanggan," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangannya bahawa kemunculan bank digital baharu tidak akan mengubah dengan ketara landskap kompetitif industri perbankan dalam tempoh 3 hingga 4 tahun akan datang.

 

Ini memandangkan pemenang lesen bank digital baharu akan dihadkan kepada segmen yang tidak dan kurang diberi perkhidmatan serta diberi had RM3 bilion pada saiz aset setiap bank digital dalam tempoh 3 hingga 5 tahun selepas diperbadankan.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan, berdasarkan potensi pemangkin penarafan semula berikutan pemulihan pendapatan secara berterusan pada 2022 hingga 2023," katanya. - DagangNews.com