Bank Islam bakal muncul satu-satunya institusi perbankan Islam penuh disenaraikan | DagangNews Skip to main content

Bank Islam bakal muncul satu-satunya institusi perbankan Islam penuh disenaraikan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 21 April - Bank Islam Malaysia Berhad muncul satu-satunya institusi perbankan Islam penuh yang disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang Ogos ini. 

 

BIMB Holdings Bhd. (BHB) kini sedang melaksanakan langkah penstrukturan kumpulan yang menyaksikan Bank Islam mengambil status penyenaraiannya. 

 

Pada 13 April lalu, BHB telah menyelesaikan penempatan saham baharu sebanyak 222.22 juta melibatkan pengumpulan modal berjumlah RM795.6 juta. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, apabila disenaraikan kelak, Bank Islam menyasarkan untuk mencapai saiz aset mencecah RM100 bilion dalam tempoh 5 tahun berbanding RM75 bilion ketika ini. 

 

Jelasnya, apabila Bank Islam mengambil alih penyenaraian ini dari BHB, ia akan memberi lebih banyak peluang kepada bank untuk meneroka bidang baharu terutama dari segi produk baharu dan pasaran baharu. 

 

"Seperti yang digariskan di bawah pelan 5 tahun kami dikenali LEAP 25, akan menyaksikan Bank Islam meneroka bidang baharu terutama perbankan borong, enterprise, bank digital, pengurusan kekayaan dan kewangan sosial menjelang 2025," katanya dalam taklimat Hala Tuju Bank Islam hari ini. 

 

 

Mohd. Muazzam Mohamed
Mohd Muazzam Mohamed 

 

 

Pada 1 April lalu, para pemegang saham dan waran BHB telah meluluskan cadangan penstrukturan semula kumpulan yang dibuat pada Mesyuarat Agung Luar Biasa dan Mesyuarat yang Diarahkan oleh Mahkamah.

 

Bank Islam kali pertama disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1992, sebelum BHB diwujudkan pada 1997 bagi menggantikan Bank Islam sebagai syarikat pemegangan kumpulan.

 

Ketika ini, proses penstrukturan yang dilaksanakan kumpulan berjalan lancar dan berada pada tahap 20%. 

 

Kedudukan modal Bank Islam selepas penstrukturan dijangka kekal kukuh memandangkan pemerolehan anak-anak syarikat BIMB selain daripada Takaful Malaysia, tidak akan memberi impak yang ketara kepada profil perniagaan Bank Islam secara keseluruhannya. 

 

Jumlah Nisbah Modal setakat 31 Disember 2020 adalah 19.8% (berbanding industri, 18.3%).

 

Menerusi langkah itu, Bank Islam menetapkan hala tuju strategik untuk memperkukuhkan usaha pendigitalan, mentakrifkan kembali pertumbuhan dan bekerja dalam persekitaran norma baharu bagi mengatasi cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya.

 

Menjelaskan lebih lanjut, Mohd. Muazzam berkata, terbitan saham baharu BHB bulan ini, yang menjana hampir RM800 juta pula akan digunakan untuk membayar sukuk tertunggak, yang dianggarkan bernilai antara RM920 juta dan RM960 juta manakala penyelesaian waran tertunggak berjumlah RM162 juta akan dibayar selepas itu.

 

Beliau berkata, Bank Islam akan memberi fokus bagi memperkukuhkan aliran kewangan dan pendapatan bagi membolehkan bank menawarkan perniagaan perbankan yang berdaya mapan dan melaksanakan langkah baru dalam menjalankan perniagaan. 

 

Mohd. Muazzam memberitahu, bank mahu mengurangkan nisbah kos kepada pendapatan daripada 53% kepada kurang 50% bagi tempoh 5 tahun akan datang yang akan dilaksanakan menerusi automasi, pengurangan dan pengurusan kos serta menambah baik pendapatan. 

 

Mengenai kedudukan pemegang saham pula, jelasnya, ia tidak memberi banyak perubahan kepada Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB). 

 

Dalam pada itu, menurutnya, Bank Islam tidak akan memohon lesen perbankan digital sebaliknya memanfaatkan lesen perbankan Islam sedia ada. 

 

Katanya, bank telah menubuhkan bahagian khusus untuk merancang dan membina segmen perbankan digital.

 

"Centre of Digital Experience (CDX) telah ditubuhkan setahun lalu dan Bank Islam merancang untuk melancarkan penawaran digital ini sekitar tahun ini. 

 

"Bahagian ini memberi fokus untuk menguji teknologi masa depan dan menyampaikan penyelesaian kewangan kepada golongan yang kurang mendapat liputan perkhidmatan perbankan di Malaysia," katanya. - DagangNews.com