Bank Islam perkenal Pusat Pengalaman Digital suku kedua ini | DagangNews Skip to main content

Bank Islam perkenal Pusat Pengalaman Digital suku kedua ini

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed  (dua dari kanan) bersama Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Pod, Nadia Ismail (dua dari kiri) selepas menandatangani perjanjian persefahaman antara Bank Islam dan Pod, baru-baru ini.

 

 

 

KUALA LUMPUR 8 Mac - Bank Islam Malaysia Berhad melalui divisyen baharunya, Pusat Pengalaman Digital (CDX) akan memperkukuhkan asas penubuhan sebuah bank digital. 

 

Penawaran penyelesaian oleh CDX dijangka disediakan di pasaran pada suku kedua tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam melalui CDX, telah melantik rakan strategik seperti Mambu, Experian dan Pod untuk menangani keperluan segmen yang kurang mendapat perkhidmatan perbankan. 

 

Katanya, kerjasama ini dapat memperkenalkan dan mempromosikan penyelesaian kewangan Islam yang sesuai dengan segmen sasaran.

 

"Melalui kerjasama ini, Bank Islam dapat menyediakan akses yang lebih luas kepada pasaran dengan memanfaatkan teknologi digital. 

 

"Malah, ia akan menjadi contoh untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan firma fintech dengan institusi kewangan yang akhirnya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara," katanya dalam kenyataan.

 

Mambu, merupakan platform perbankan SaaS termaju di pasaran manakala Experian, sebuah firma perkhidmatan maklumat global. 

 

Bank Islam juga baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan penggiat fintech tempatan, Pod, untuk membangunkan penawaran produk digital baharu.

 

Pendekatan digital ini akan menyaksikan Bank Islam menerapkan teknologi generasi terbaharu seperti perbankan digital Cloud Native dan sistem pengesahan identiti digital (eKYC) pada produk dan perkhidmatannya.

 

Ini membolehkan penawaran produk perbankan tanpa cawangan fizikal bagi akses pelanggan yang lebih meluas, khususnya dalam kalangan segmen celik teknologi.

 

Penglibatan Mambu pula membolehkan Bank Islam menyusun produk perbankan patuh syariah ke dalam platform baharu itu, sementara Experian akan memberikan penyelesaian eKYC yang membolehkan pelanggan membuka akaun bank tanpa perlu hadir ke cawangan bank.

 

Untuk produk pula, CDX sedang membangunkan model pemarkahan kredit alternatif dengan kerjasama Pod. 

 

Melalui kerjasama ini, CDX dan Pod akan meneroka penyelesaian untuk pelanggan yang terdiri daripada segmen kurang mendapat perkhidmatan perbankan seperti pekerja-pekerja sambilan (gig workers). 

 

Ini akan dilakukan dengan mengenal pasti kaedah alternatif untuk menilai kelayakan kredit segmen pelanggan terbabit dengan menggunakan kaedah di luar cara tradisional, pada masa sama turut menyediakan fleksibiliti dan kemasukan dalam sistem perbankan formal untuk segmen ini. - DagangNews.com